KETUA jurulatih futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia menepis dakwaan sesetengah pihak yang meletakkan pasukannya sebagai pilihan untuk menjuarai Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 sebaliknya merasakan kesemua lapan pasukan yang bertanding mampu melakar kejayaan.
Dalam musim keduanya bersama Harimau Selatan, keyakinan Juan semakin bertambah selepas melihat aksi anak-anak buahnya ketika kempen pramusim dan kini bersedia untuk mengharungi kempen MPFL 2024.
Pengendali asal Sepanyol itu juga turut memilih Pahang Rangers sebagai pasukan pilihan kerana sebagai juara bertahan, skuad Gerard Casas semestinya akan tampil lebih kuat untuk mempertahankan kejuaraan.

“Ketika pramusim yang panjang ini saya gembira dengan pasukan saya kerana berada dalam keadaan yang baik menjelang musim baharu dengan sensasi liga sudah dapat dirasai meskipun pada perlawanan ujian dan keyakinan saya bertambah untuk musim kedua ini.
“Saya tidak kisah apa pendapat yang diberikan pengendali Pahang Rangers itu kerana apa yang penting adalah pasukan saya sendiri. Objektif JDT adalah cuba memenangi setiap perlawanan tetapi dalam pertandingan ada banyak perkara yang diluar kawalan.
“Pahang masih lagi dianggap pasukan pilihan kerana mereka adalah juara bertahan dan JDT diletakkan sebagai pilihan hanya kerana kami mempunyai jenama yang besar,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN di Shah Alam.

Juan juga gembira dengan kemasukan pemain-pemain baharu yang dijangka dapat menambah kekuatan pasukan selain menampun kelemahan yang dapat dikenalpasti pada musim lalu.
JDT membawa masuk pemain import, Helio Neto dari TOT United serta tiga pemain tempatan, Izwan Bakri, Mahadir Harahap dan Yazid Kamaruzuan ketika jendela perpindahan yang dilihat akan memantapkan lagi skuad naib juara MPFL 2023 itu.
“Neto adalah pemain hebat yang sudah faham dengan liga disini, Yazid mampu bermain di pelbagai posisi, Iwan pula adalah MVP manakala Mahadir seorang pemain muda yang meningkat naik namun mereka masih perlukan masa untuk mengadaptasi dengan pasukan kerana baru dua minggu bersama kami.

“Sudah tentu mereka akan menambah kekuatan pasukan dan mereka sudah mengadaptasi taktikal yang diterapkan namun segalanya perlu dibuktikan dalam perlawanan,” jelasnya.
Menjawab soalan sama ada lapan pasukan mencukupi untuk menjalankan liga, Juan berharap lebih banyak pasukan menyertai Divisyen 1 MPFL dan turut menyeru kesemua pasukan meningkatkan fasiliti sedia ada untuk tujuan kemajuan futsal Malaysia serta bakal membantu skuad kebangsaan.
“Lapan pasukan bagi saya tidak mencukupi. 10 pasukan perlu ada dalam liga dengan 12 pasukan akan menjadi lebih baik. Tetapi jika dibandingkan musim lalu, 14 pasukan dalam dua kumpulan namun musim ini kesemua lapan pasukan adalah lebih baik dari segi tahap kompetitif.
“Setiap pasukan dalam Malaysia patut bersama-sama menambah baik kualiti fasiliti kerana ianya akan menambah kualiti liga dan membantu kualiti pasukan kebangsaan sekali gus mencapai objektif liga ini,” sarannya.
JDT yang muncul naib juara dalam MPFL dan Piala Malaysia Futsal musim lalu akan membuka gelanggang bertemu Gombak TOT United di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam untuk mencari tiga mata pertama sekali gus memulakan kempen dengan momentum yang positif.