PASUKAN MPKjFC berjaya muncul juara kejuaraan Selangor Champions League 2022 (SCL) selepas menewaskan pasukan Bandar Putera 2 dengan keputusan 3-0 pada aksi final yang berlangsung di Arena MBSJ, Subang Jaya.
MPKj FC yang menduduki tempat ketiga Kumpulan B layak ke final selepas mengejutkan pasukan pilihan Kelana United pada peringkat separuh akhir dan kini bergelar juara SCL buat pertama kali dalam sejarah enam edisi sebelum ini.
Bandar Putera 2 FC pula yang melakukan debut dalam SCL mencipta kejutan layak ke final selepas menewaskan dua nama besar, NPNG D.Perdana dan MBPJ FC meskipun sekadar di tempat keempat Kumpulan B.
Dua gol menerusi penyerang, Terrence Marieselvam memberikan kelebihan awal buat MPKj pada babak pertama dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor (RMS).
Perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat itu sedikit tegang pada penghujung babak kedua apabila berlaku beberapa kekasaran sehingga pengadil terpaksa melayangkan kad merah kepada Terrence yang didapati mengasari pihak lawan.

Ketika perlawanan memasuki minit terakhir, MPKj dihadiahkan sepakan penalti dan ianya mudah disempurnakan M.Dinesh untuk kemenangan 3-0 buat wakil Kajang itu.
Kemenangan ini menyaksikan MPKj membawa pulang trofi kejuaraan yang disampaikan oleh Raja Muda Selangor dan status sebagai juara Selangor Champions League 2022.