SUKMA XXII sah pertanding Muaythai, Petanque dan Silambam apabila mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) meluluskan penambahan tiga sukan pilihan itu untuk temasya di Selangor pada 2026.

Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama pimpinan tertinggi sukan negara termasuk Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Sebelum ini, cadangan penambahan sukan tersebut dibawa oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026.

Dengan kemasukan tiga sukan baharu itu, SUKMA XXII Selangor 2026 akan mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Cawangan Komunikasi Korporat Majlis Sukan Negara (MSN) itu, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA turut memutuskan bahawa tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan selepas ini.

Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh negeri.

Hannah turut memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan sedang mengkaji penganjuran ‘Non-SUKMA Games’ untuk sukan yang tidak terpilih ke SUKMA.

Beliau berkata, model baharu penganjuran SUKMA selepas edisi Kelantan 2028 juga sedang diteliti bagi menjamin kesinambungan pembangunan sukan tanpa membebankan peruntukan kerajaan.