DUA lagi pingat sudah sah berada dalam genggaman skuad boling negara yang menggalas cabaran di Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025 di Hong Kong, selepas pasukan lelaki dan wanita lolos ke separuh akhir.

Pasukan lelaki yang dibarisi Rafiq Ismail, Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Haznul Azam (Tun Hakim) terus mempamerkan prestasi mantap selepas menyingkir Denmark 3-0 (242-157, 214-197, 235-226), mereka menjadikan Jerman sebagai mangsa seterusnya.

Menggunakan format perlawanan best of 5 game, pasukan lelaki negara turun ke suku akhir menentang Jerman, dengan kekalahan permainan pertama 184-258, namun berjaya bangkit dalam tiga permainan berikutnya, 234-199, 21-190 dan 202-184, sekali gus memenangi perlawanan itu dengan keputusan 3-1.

Pasukan boling lelaki negara cemerlang atasi Jerman di suku akhir.

Kemenangan itu membawa mereka ke separuh akhir menentang Kuwait pagi esok, selepas pasukan dari Timur Tengah itu menyingkir Singapura 3-0 (206-191, 192-188, 201-179).

Pasukan wanita negara turut cemerlang apabila berjaya mengharungi perlawanan getir menentang Sweden di suku akhir.

Dibarisi pemain berbisa Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim, mereka mengungguli dua permainan pertama dengan kemenangan 221-200 dan 187-142, sebelum tunduk 206-224 pada permainan ketiga.

Pasukan boling wanita memburu kilauan emas kedua selepas acara single.

Berbekalkan kekuatan mental pemain negara bangkit menenangi permainan keempat menerusi kemenangan 226-185, sekali gus menyingkir Sweden dengan keputusan 3-1.

Esok, skuad wanita akan berdepan satu lagi lawan mencabar, iaitu Macao yang mengatasi Jerman dalam lima permainan, sebelum melangkah ke separuh akhir dengan keputusan 3-2.

Sebelum ini, skuad negara sudahpun meraih satu pingat emas menerusi Natasha manakala satu perak menerusi Rafiq, masing-masing dalam acara single wanita dan lelaki.