MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyambut baik keputusan bersejarah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menyenaraikan acara memanah compound berpasukan campuran dalam senarai rasmi pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

MSN dalam kenyataan media yang diedarkan berkata, pengumuman itu dianggap satu pengiktirafan bagi membuka laluan baharu buat Malaysia memburu pingat Olimpik, khususnya menerusi barisan pemanah compound yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.

Berbekalkan rekod membanggakan seperti emas Piala Asia Bangkok menerusi gandingan Alang Arif Aqil-Fatin Nurfatehah pada Februari lalu, serta konsistensi Mohd Juwaidi Mazuki – bekas ranking ke-20 dunia dan pemenang gangsa Kejohanan Dunia 2023, Malaysia kini berada di landasan kukuh menjelang LA28.

Sejak 2018, MSN telah mempersiapkan lapan pemanah compound elit dalam Program Podium, yang turut menyumbang emas di Piala Asia 2023 dan 2024 serta gangsa Sukan Asia 2018 dan 2022.