MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan memberikan sokongan dan bantuan tanpa berbelah bahagi buat mana-mana atlet negara yang dilihat berpotensi bukan sahaja mampu layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, namun membutirkan pingat emas.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan program yang dinamakan ‘Gold Paris’ itu adalah sebahagian daripada program Podium, tetapi pengkhususan kepada persiapan atlet negara menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu pada tahun hadapan.

“Program Gold Paris ini dikelaskan kepada dua kelompok atlet, iaitu yang mampu layak serta yang berpotensi menghadiahkan pingat emas.

“Jawatankuasa program ini akan melihat barisan atlet yang dilihat sebagai prospek negara, termasuklah atlet profesional yang tidak bernaung dengan badan sukan kebangsaan, contohnya badminton.

“Antara kelebihan yang dinikmati bukan sahaja dari sudut sains sukan dan perbelanjaan, malahan program ini juga sedia membekalkan jurulatih terbaik dunia untuk mana-mana atlet yang berpotensi meraih pingat di temasya sukan itu nanti,” katanya.

Tambahnya lagi, semua orang akan mendapat bantuan, dan mereka akan dapat lebih daripada apa yang mereka peroleh sekarang, pengkhususan kepada keperluan mereka sendiri.

Bagaimanapun Shapawi enggan menamakan atlet yang telah pun berada dalam senarai tersebut memandangkan kelayakan untuk kebanyakkan sukan ke temasya tersebut baru sahaja bermula dan perincian dijangka akan dimuktamadkan selepas Jawatankuasa Program Gold Paris bersidang hujung tahun ini.