KONTINJEN Malaysia ke SEA Deaf Games 2025 Jakarta menerima tonik besar apabila buat pertama kali Majlis Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf) menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM3 juta yang dikhususkan bagi persiapan keseluruhan atlet negara ke Deaflympics Tokyo November ini.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, suntikan dana itu mencerminkan usaha kerajaan dalam memastikan atlet pekak diberi perhatian sama rata seperti kontinjen Paralimpik dan Olimpik Khas. Malah, beliau menegaskan bahawa inklusiviti sukan menjadi agenda utama KBS dengan memastikan atlet pekak tidak rasa terpinggir ketika menggalas cabaran negara.
“Bila mereka pakai jersi Malaysia, mereka adalah atlet negara. Jadi kita perlu pastikan mereka menerima layanan dan sokongan sama seperti atlet lain, termasuk bantuan daripada Institut Sukan Negara (ISN),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Auditorium KBS, di sini petang Isnin.
Seramai 80 wakil Malaysia termasuk 53 atlet dan 27 pegawai akan membawa cabaran negara dalam enam acara di SEA Deaf Games iaitu futsal, badminton, boling, catur, ping pong dan olahraga minggu ini. Tahun lalu, kontinjen Malaysia mencatat pencapaian cemerlang dengan 15 pingat emas, dan kali ini harapan diletakkan agar mereka mampu mengekalkan prestasi, malah menambah koleksi kejayaan.
Hannah bagaimanapun mengakui, cabaran utama adalah kesinambungan bajet yang masih diperuntukkan secara tahunan oleh Kementerian Kewangan. Katanya, kitaran setahun itu menyukarkan perancangan jangka panjang, sedangkan kem latihan intensif untuk Deaflympics Tokyo memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun bagi menjamin persiapan rapi sebelum kejohanan antarabangsa.

“Jika bajet tidak konsisten, ia menjejaskan perancangan latihan dan persediaan atlet. Nasib baik tahun ini mereka dapat dana, tetapi cabaran saya ialah memastikan sokongan kewangan sebegini dikekalkan untuk tahun-tahun mendatang. Kita tidak mahu persiapan mereka terganggu,” jelasnya.
Beliau turut menekankan isu penglibatan atlet wanita pekak yang masih berdepan stigma dalam kalangan keluarga, menyebabkan pencarian bakat baharu agak mencabar. Justeru, usaha pencarian kini diperluaskan menerusi Majlis Sukan Negara selain melibatkan pendaftaran kad OKU sebagai asas pengiktirafan bakat.
Hannah berharap media turut memainkan peranan dalam mengetengahkan pencapaian atlet pekak agar masyarakat memberi sokongan moral. “Apabila kita tonjolkan kejayaan mereka, ia menjadi motivasi dan dorongan besar buat mereka untuk terus berjuang di pentas antarabangsa,” tambahnya.