PEMILIK Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, mengumumkan pemeteraian perjanjian strategik bersama BeONE Network SDN BHD dalam satu majlis rasmi yang berlangsung pada Sabtu.
Majlis tersebut juga menyaksikan pelantikan tiga duta rasmi KDA FC bagi memperkukuhkan lagi usaha penjenamaan dan pemasaran kelab iaitu iaitu penyanyi terkenal Hanifah Muhammad Hanafiah (Black), serta dua figura media digital, Muhd Iqbal Mohd Nor (CEO Batu) dan Mohd Irshad Shafiq Mohd Tahir (CEO Biezy).
Dalam perjanjian yang akan berkuat kuasa pada 23 Februari 2025, BE ONE Network Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk menjadi rakan strategik dalam bidang penjenamaan dan pemasaran bagi KDA FC.
Melalui kerjasama pintar dan perkongsian pendapatan yang menguntungkan semua pihak, BE ONE turut bertanggungjawab membawa tiga duta rasmi kepada KDA FC tanpa sebarang kos kepada kelab.
“Kami di KDA FC juga ingin mengalu-alukan kedatangan Black Hanifah, Mohd Irshad Shafiq dan Ceobatu ke dalam keluarga KDA FC.
“Kedatangan dan keberadaan mereka dalam keluarga besar KDA FC pasti akan memeriahkan lagi segala aktiviti perniagaan dan sosial kelab seperti penjualan tiket, penjualan barang-barang kelab, aktiviti masyarakat bersama KDA FC, daya tarikan kepada penaja atau pengeluar barang-barang untuk menaja KDA FC dalam pelbagai bentuk dan pelbagai lagi aktiviti yang mensasarkan bilangan peserta yang meningkat dan pendapatan yang bertambah.
“Semua amat faham bahawa di era ini, pemasaran secara viral adalah jantung kepada bisnes dan perniagaan. Di sinilah peranan utama semua duta-duta KDA FC,” kata Mohd Daud semasa Majlis Pengumuman Rakan Strategik Penjenamaan dan Pemasaran & Majlis Pengisytiharan Duta-Duta Rasmi KDA FC – BE ONE PREPAID.
Jelas beliau lagi, tugas dan tanggungjawab pertama duta-duta KDA FC yang hebat lagi budiman ini adalah untuk membantu mempercepatkan pencapaian ahli The Wing seramai 20,000.
“Sebaik sahaja tamat majlis semalam, beberapa pihak dan syarikat telah menghubungi KDA FC melalui BE ONE untuk bekerjasama dalam pelbagai bentuk atas prinsip win-win (menang-menang) dalam perniagaan mereka.
KDA FC sebenarnya telah menggariskan banyak tindakkan susulan untuk mentransformasikan majlis ini kepada aktiviti pemasaran pelbagai produk dan aktiviti sosial yang boleh menambah pendapatan kelab dan meningkatkan jumlah peminat dan penyokong KDA FC yang setia.
“Mungkin ada yang berpandangan sinis atas inisiatif begini. Tetapi pada KDA FC apa yang penting kini hanya melangkah kehadapan dan usaga terus menerus kearah lebih positif tanpa henti untuk kita sampai ke destinasi.
“KDA FC memilih pilihan kedua dengan kepercayaan penuh para penyokong setia akan sentiasa menyokong segala usaha berterusan dari kelab,” ujarnya.
FOTO : KDA FC