EKORAN  insiden panas aksi Liga Super perlawanan Selangor FC bertemu Sri Pahang FC yang berlaku pada awal permainan antara Mohamad Faisal Abdul Halim dengan Azrif Nasrulhaq, Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tampil memberikan komen mengenai insiden tersebut.

Menurut sisi pandangan jurulatih tersebut, perlakuan Azrif Nasrulhaq yang mencekak Mohamad Faisal Abdul Halim adalah kerana pemain lincah itu terlebih dahulu melakukan terjahan di bahagian buku lali pemain itu, menyebabkan Azrif melakukan tindak balas.

Bagaimanapun, Fandi menjelaskan dia tidak tahu sekiranya ada ‘dendam’ antara dua pemain itu di luar padang dan menasihati supaya segera menyelesaikan segala kemelut sebelum bermulanya perlawanan seterusnya.

“Kita tahu yang apabila Azrif Nasrulhaq pusing belakang semula, Faisal Halim dia terjah ke bahagian buku lalinya, itu yang dia marah.

“Mungkin mereka ada masalah masing-masing saya tak tahu. Itu mereka (Faisal dan Azrif) kena selesaikan sendiri.

“Kita tidak boleh salahkan sesiapa. Pengadil yang berada di situ seharusnya bijak mengendalikan perlawanan,” jelas Fandi yang menyaksikan insiden tersebut.

Dalam pada itu, kehilangan dua pemain gara-gara kecederaan, Lucas Silva dan Shamie Iszuan jelas merisaukan kem Fandi Ahmad kerana Tok Gajah memerlukan kualiti yang ada pada pemain ini untuk terus menjaringkan gol.

Oleh itu, dia berharap agar dua pemain tersebut akan mencapai tahap kecergasan yang diperlukan dalam masa terdekat untuk kembali memperkuat pasukan bagi membantu Sri Pahang FC melakukan penyudah yang lebih efektif.

“Kita masih ada dua pemain yang masih di luar. Kita kehilangan penyerang kita, Lucas Silva yang berpasangan dengan Kpah Sherman.

“Di bahagian sayap, kita kehilangan Shamie Iszuan. Sebenarnya, mereka baru pulih dari kecederaan. Kita tidak boleh mengelak jika sebarang kecederaan berlaku.

“Kita berharap kita bermain dengan disiplin. Kita harus bermain dengan keinginan dan semangat membara untuk pasukan kerana kita kekurangan kualiti. Kita harapkan mereka kembali membantu kita,” ujarnya.