PENJAGA gawang Kelantan Darul Naim (KDN) menganggap kejayaannya menyelamatkan dua sepakan penalti Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai rezeki buat dirinya meskipun tidak berjaya menghalang kemaraan Harimau Selatan ke peringkat suku akhir Piala FA 2024-25.

Muhaimin bertindak sebagai hero apabila menepis sepakan penalti Juan Muniz dan Arif Aiman Hanapi namun terpaksa akur apabila bolos empat gol dalam aksi pertamanya dalam kesebelasan utama KDN di Stadium Sultan Ibrahim.

Dia yang dihubungi mengakui perlu berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukannya kerana memberikan komitmen 100 peratus walaupun tewas dan seterusnya tersingkir dari kejohanan.

Penalti Juan Muniz yang digagalkan Muhaimin.

“Syukur kerana jurulatih memberikan saya peluang untuk bermain bertemu JDT selepas hampir empat tahun saya tidak bermain dalam kesebelasan utama. Secara peribadi saya berpuas hati atas persembahan pada Sabtu tetapi perlu berterima kasih kepada semua pemain yang banyak membuat halangan.

“Semua pemain berikan komitmen 100 peratus cuma sebagai penjaga gol, saya kurang berpuas hati kerana melepaskan empat gol di mana setiap penjaga gol juga akan merasai perkara yang sama.

Dua penalti yang saya dapat selamatkan dari Muniz dan Arif itu mungkin nak jadi rezeki buat saya. Penyokong boleh menilai dan syukur jika penyokong nampak perkara positif dalam permainan saya dan sentiasa berterima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa berada di belakang saya,” katanya.

Muhaimin dan pertahanan Kelantan Darul Naim bertungkus lumus menggagalkan serangan JDT.

Dia juga gembira dengan saingan yang diterima di kelab dan tidak pernah menolak kemungkinan untuk menyarung jersi kebangsaan tetapi buat masa sekarang tumpuannya hanyalah untuk beraksi bersama KDN.

“Saya sentiasa akan bersaing secara sihat untuk merebut kesebelasan utama dan yang lain saya serahkan pada jurulatih untuk menilai tetapi sekarang fokus saya hanyalah pada KDN dahulu dan jika diberikan peluang menyarung jersi Harimau Malaya, itu adalah rezeki dan saya sedia berikan komitmen terbaik,” jelasnya.