PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menegaskan beliau tidak mahu terlalu memikirkan kemungkinan menamatkan saingan Liga Super Malaysia dengan rekod bersih tanpa kekalahan musim ini.

Menurut Munoz, fokus utama pasukannya ketika ini adalah mengekalkan momentum serta karakter positif yang dipamerkan pemain dengan mengambil pendekatan mengharungi saingan secara satu perlawanan demi satu perlawanan.

Kemenangan besar 7-0 ke atas PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi jelas menggambarkan kesungguhan skuad Harimau Selatan untuk menamatkan musim dengan pencapaian membanggakan.

“Di penghujung musim ini adalah masa untuk pengurusan kelab menilai perjalanan pasukan sepanjang saingan liga. Jadi kami perlu lebih berhati-hati dan membuat persiapan bagi baki empat perlawanan dengan tenang tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz

Munoz turut mengakui jadual padat yang diharungi pasukannya musim ini termasuk dalam saingan domestik serta AFC Champions League Elite memberi cabaran besar kepada pemain.

Sehubungan itu, beliau merancang memberi rehat selama tiga hingga empat hari kepada barisan pemain bagi membolehkan mereka meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali memulakan persiapan seterusnya.

Tambah beliau, fokus seterusnya adalah aksi menentang Kuala Lumpur City FC pada 3 April ini dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia yang disifatkan sebagai perlawanan penting buat pasukannya.

Dalam perkembangan lain, Munoz menjelaskan pemain import dari Brazil, Heberty Fernandes masih menjalani latihan bersama pasukan meskipun tidak disenaraikan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Menurutnya, saingan sengit di bahagian tengah yang turut dibarisi pemain seperti Yago Cesar, Ager Aketxe dan Rui Felipe menyebabkan Heberty sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama, namun peluang untuknya tetap terbuka.