Pengendali Johor Darul Ta’zim FC, Xisco Munoz menuntut anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Meskipun JDT berada dalam kedudukan selesa selepas mencatat kemenangan 4-0 pada aksi pertama, Munoz menegaskan masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki sebelum melangkah ke final.
Menurutnya, baki 90 minit perlawanan tidak boleh dipandang mudah kerana sebarang kemungkinan masih boleh berlaku dalam bola sepak.
“Menang 4-0 adalah keputusan yang positif bagi kami tetapi masih ada baki 90 minit yang perlu diharungi.
“Kami tidak anggap KL City sudah tewas kerana dalam bola sepak keajaiban boleh berlaku dan kami perlu bersedia setiap saat,” katanya.
Munoz turut mengakui terdapat beberapa kelemahan taktikal yang perlu diperbaiki, terutama dari segi memberi ruang kepada pihak lawan untuk membina serangan.
Katanya, situasi tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengundang ancaman kepada benteng pertahanan pasukan.
Dalam masa sama, beliau memberi bayangan akan mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utama bagi memastikan misi ke final tidak terjejas.
“Mungkin tiada rombakan besar dalam kesebelasan utama, tetapi saya akan menurunkan pemain terbaik untuk memastikan kami melangkah ke final,” jelasnya.
JDT kini berada di landasan terbaik untuk melangkah ke final buat kali keenam berturut-turut sekiranya berjaya mengekalkan kelebihan pada aksi timbal balik nanti.