Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menegaskan pasukannya tidak berdepan sebarang tekanan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di laman sendiri pada 18 April ini.
Menurutnya, skuad The Cats turun sebagai pasukan ‘underdog’, justeru mereka hanya perlu mengekalkan konsistensi yang dipamerkan sepanjang musim ini tanpa memikirkan tekanan luar.
Aidil berkata, beliau tidak mahu anak buahnya terbeban dengan jangkaan tinggi meskipun prestasi pasukan menunjukkan peningkatan ketara sehingga berjaya melangkah ke separuh akhir buat kali pertama.
“Pasukan mana yang lebih besar sekarang? Selangor atau Kuching? Jadi kenapa kita perlu rasa tertekan kerana mereka ada bajet, pemain dan jangkaan lebih besar.
“Walaupun rekod menunjukkan kita semakin baik, saya tidak mahu pemain rasa tertekan kerana kita sudah mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Malaysia,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa faktor tuah juga boleh memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan perlawanan, selain berharap pasukannya mampu menampilkan aksi lebih baik pada pertembungan kedua nanti.
Dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium MBPJ, Kuching City terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Ronald Ngah Wanja selepas penyerang itu dijatuhkan Safuwan Baharudin.
Bagaimanapun, Selangor yang lebih menguasai permainan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Chrigor Moraes pada penghujung perlawanan untuk memastikan kedudukan terikat 1-1.
Keputusan tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang seimbang untuk merebut satu tempat ke final Piala Malaysia musim ini.