KETUA jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain enggan panik meskipun tiga tonggak utama pasukan masih belum mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 2026, September ini.

Nafuzi menegaskan ketiadaan Fergus Tierney (Sabah FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC) dan Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC) dalam kem latihan awal bukanlah kerana digugurkan, sebaliknya mereka hanya menunggu lampu hijau daripada kelab. “Saya faham situasi kerana mereka pemain penting. Harapnya bila tiba FIFA Day, kita boleh gunakan khidmat mereka,” katanya dengan nada optimis.

Mengakui ketiadaan tiga pemain berpengaruh itu pasti memberi kesan, Nafuzi tetap melihat ia sebagai ruang terbaik untuk memberi peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan. Baginya, persaingan sihat adalah kunci untuk meningkatkan kualiti keseluruhan pasukan.

Fokus utama kini, jelas Nafuzi, adalah mempersiapkan skuad dari segi fizikal, taktikal dan mental. Tempoh latihan di Bangkok bermula 18 hingga 31 Ogos bakal menjadi medan penting, termasuk aksi persahabatan menentang Kuwait dan Oman sebagai ujian sebenar sebelum menghadapi cabaran kelayakan.

“Di Bangkok kita akan nilai kemampuan pemain menghadapi intensiti perlawanan antarabangsa. Dari situ, kita boleh ukur keserasian dan baiki kelemahan sebelum turun ke kempen sebenar,” ujar Nafuzi.

Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Lubnan, Thailand dan Mongolia. Nafuzi menyifatkan kesemua lawan sukar, dengan Lubnan menjadi ujian pertama yang dijangka cukup mencabar. “Mereka pasukan yang baik dan berkualiti. Namun, sama ada Lubnan, Thailand atau Mongolia, semuanya kuat. Jadi kita mesti benar-benar bersedia,” katanya.

Beliau percaya hanya dengan persiapan rapi serta semangat berpasukan tinggi, Malaysia mampu mencabar tiket ke pusingan akhir di Arab Saudi tahun depan. “Tugas ini bukan mudah, tetapi kami akan lakukan yang terbaik. Kekuatan mental dan taktikal akan jadi penentu.”