Bergson da Silva menganggap detik menjaringkan gol pada penampilan sulung bersama Harimau Malaya sebagai sesuatu yang istimewa, namun peluang beraksi bersama rakan sepasukan menjadi kenangan yang lebih bermakna buat penyerang berusia 35 tahun itu.

Bergson membantu Malaysia membuka kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, sekali gus melakar permulaan sempurna dalam Kumpulan A.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melengkapkan kemenangan Malaysia menerusi jaringan pada minit ke-52 selepas Arif Aiman Hanapi terlebih dahulu meledak dua gol pada minit ke-18 dan ke-37.

Bergson mengakui peluang menyarung jersi Harimau Malaya dan berkongsi padang bersama pemain lain merupakan pengalaman yang tidak pernah dibayangkannya sebelum ini.

“Saya tidak pernah membayangkan akan berada di sini. Hari ini apabila saya masuk ke padang dan berkongsi detik bersama pemain-pemain ini, ia membuatkan saya berasa sangat bangga dan gembira,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menurutnya, sokongan yang diterima daripada peminat di Malaysia turut menjadikan penampilan sulung itu lebih bermakna, terutama apabila beliau dapat mencipta kenangan bersama mereka.

“Sudah pastinya semua orang yang menyukai dan menyokong saya di Malaysia turut merasai perkara sama. Berkongsi detik dan mencipta kenangan bersama mereka tidak ternilai,” katanya.

Bagaimanapun, Bergson menegaskan kemenangan dan tiga mata menjadi keutamaan Harimau Malaya selepas pasukan berjaya melaksanakan pendekatan permainan yang dirancang meskipun terpaksa beraksi pada waktu yang mencabar.

“Kami perlu mengucapkan tahniah kepada pasukan kerana bukan mudah untuk bermain pada waktu seperti ini dan ia tidak mudah untuk badan.

“Saya fikir kami melakukan permainan yang baik berdasarkan pendekatan yang kami lakukan. Kami mendapat tiga mata dan itu paling penting buat semua yang mengharapkan kami,” katanya.

Gol tersebut bukan sahaja membantu Malaysia mengesahkan kemenangan dalam aksi pembukaan, malah membuka akaun jaringan Bergson bersama skuad kebangsaan dalam penampilan pertamanya.

Kemenangan itu memberikan Harimau Malaya tiga mata sebelum mereka meneruskan kempen Kumpulan A dengan pertemuan menentang Indonesia pada 28 September