Kredit Gambar: MSN Malaysia

Impian jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk mempertahankan pingat gangsa 100 meter (m) lelaki Sukan Asia tidak kesampaian apabila kecederaan memaksanya menamatkan final Aichi-Nagoya 2026 di tempat kelapan, hari ini.

Beraksi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, Azeem terpaksa meneruskan perlumbaan dalam keadaan terhencut sebelum mencatat masa 14.65 saat (s).

Pelari berusia 22 tahun itu bagaimanapun tetap menghabiskan perlumbaan walaupun jelas berdepan kesukaran akibat kecederaan yang dialami ketika saingan berlangsung.

Sebaik melepasi garisan penamat, Azeem terus terbaring di trek sebelum mendapatkan bantuan daripada pasukan perubatan yang berada di venue.

Keputusan itu menyaksikan Azeem tidak dapat mengulangi pencapaian pada Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila beliau menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen Malaysia dalam acara 100m lelaki.

Dalam perlumbaan sama, pelari Thailand, Puripol Boonson mengesahkan statusnya sebagai juara acara 100m lelaki selepas memecut ke garisan penamat dengan catatan 9.90s.

Catatan tersebut bukan sahaja memberikan emas kepada Puripol, malah menyaksikan pelari berusia itu memecahkan rekod Sukan Asia miliknya sendiri iaitu 9.91s yang dicatat pada peringkat separuh akhir.

Pingat perak menjadi milik pelari Oman, Ali Al Balushi dengan catatan 10.04s, manakala rakan senegaranya, Malham Al Balushi turut merekodkan masa sama untuk membawa pulang gangsa.

Azeem kini menutup kempen 100m Aichi-Nagoya 2026 dengan kekecewaan selepas gagal mempertahankan pingat yang dimenanginya di Hangzhou, manakala perhatian pastinya terarah kepada keadaan kecederaan yang dialaminya selepas perlumbaan.