TERENGGANU FC (TFC) bakal dibimbing ketua jurulatih baharu musim depan selepas Nafuzi Zain memberi bayangan ‘jodoh’ bersama pasukan itu mungkin tidak berpanjangan.
Nafuzi berkata, dia perlu membuat keputusan terbaik demi mengembangkan kerjaya sebagai jurulatih namun mengakui belum menerima sebarang tawaran lanjutan kontrak oleh TFC.
Justeru itu, Nafuzi menjelaskan sudah tiba masanya dia mencari pengalaman serta cabaran baharu bersama pasukan lain walaupun telah membawa TFC muncul naib juara Piala FA.
“Saya berterima kasih kepada penyokong yang menyokong saya sejak awal bersama TFC sehingga saat-saat akhir ini dan saya anggap itu satu penghargaan untuk saya.
“Namun berkemungkinan besar ini adalah tahun terakhir saya bersama TFC, mungkin perlu mencuba pengalaman baharu di tempat baharu memandangkan saya belum terima apa-apa tawaran.
“Saya sayangkan TFC dan akan buat yang terbaik untuk membawa pasukan ini ke Piala AFC 2023 dan final Piala Malaysia,” katanya selepas perlawanan menentang Penang FC, pada Rabu.

Nasib Nafuzi bersama Sang Penyu sebelum ini terus menjadi bualan peminat yang mahu khidmatnya dikekalkan setelah peningkatan dipamerkan sejak melatih TFC pada 2019.
Namun reaksi jurulatih berusia 44 tahun itu memberi petanda TFC akan kehilangan pengendali tempatan terbaik dalam negara dengan beberapa nama dicanang sebagai pengganti.
Antaranya bekas jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan pengarah teknikal TFC iaitu Tomislav Steinbruckner daripada Croatia.