KEGAGALAN menyempurnakan peluang yang terhidang menjadi perbezaan keputusan perlawanan antara Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Rabu.
Perkara ini diakui sendiri oleh jurulatih interim Selangor FC, Nidzam Jamil yang kecewa kerana barisannya gagal membunuh perlawanan lebih awal terutama pada awal babak pertama.
Kehilangan pertahanan Richmond Ankrah yang dikeluarkan akibat kecederaan juga menjadi faktor utama Red Giants gagal mengekang penyerang Kedah, Ronald Ngah Wanja hingga dibolosi.
Nidzam turut menyatakan bahawa Kedah mempunyai kelebihan menerusi ‘individual brilliance’ yang mampu mengubah permainan dan memberikan kemenangan.
“Tahniah untuk Kedah. Kami banyak mencipta peluang tetapi gagal menyudahkannya dan kita diadili dengan keputusan akhir. Kami cuba menukar corak serangan pada separuh masa kedua tetapi masih gagal untuk mendapatkan gol penyamaan.
“Pada pendapat saya, kami dapat mencipta peluang tetapi kami ‘gagal kill the match’ lebih awal kerana jika dilihat, di Sabah kami lebih tajam di serangan tetapi tidak pada malam ini. Perbezaan adalah pada sentuhan terakhir.
“Kami cuba menekan Kedah tetapi selepas Richmond dikeluarkan kami kehilangan pemain untuk menyaingi Ngah Wanja. Kami panik dan mereka berjaya mendapatkan dua gol ketika itu.

Caion dilihat bergelut untuk menjaringkan gol.
“Saya bangga dengan pemain saya kerana ianya bukan mudah untuk lawan fizikal pemain Kedah dan secara keseluruhan kami berjuang dengan baik tetapi Kedah mempunyai kelebihan pada individu seperti Ngah Wanja dan Mahmoud Al-Mardi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Merujuk kepada kecederaan yang dialami Richmond Ankrah, Nidzam perlu merujuk kepada barisan medikal pasukan terlebih dahulu namun dia menjangkakan kecederaan yang dialami adalah serius.
Kekalahan ini merencatkan momentum Selangor yang sebelum ini berjaya mencuri mata dari dua pasukan tempat teratas liga dan kini perlu kembali bekerja keras sebelum berhadapan Melaka United apabila liga bersambung semula pada Oktober.