KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim III, Javier Jorda Ribera nyata gembira dengan kejayaan menjulang Piala Presiden dan memberikan kredit kepada semua pihak yang terlibat di Akademi JDT sejak lima tahun lalu.
Javier turut menyatakan pelan permainan mereka pada final kedua itu adalah untuk menang kerana mereka adalah Johor Darul Ta’zim dan kesemua pemain berjaya memainkan peranan masing-masing dalam mencorak kejayaan ini.
Ini adalah kejayaan ketiganya bersama Akademi JDT dan menganggap kejayaan ini bukanlah kerana individu tetapi ianya adalah kejayaan berpasukan dari setiap pemain.
“Saya sangat gembira. Ianya sangat menakjubkan dan Sukar untuk dipercayai. Kemenangan ini adalah milik semua yang terlibat dengan Akademi JDT bermula dari pihak pengurusan, mereka yang di belakang tabir termasuk pemain dalam pasukan JDT, JDT II dan juga JDT IV sejak lima tahun dahulu.
“Kami adalah JDT dan kami bermain untuk menang. Malam ini kami bermain dengan tenang dan berjaya menjaringkan gol pada hujung babak pertama dan ianya sedikit memudahkan kami. Begitu juga pada babak kedua kami cuba menggunakan Pelan B kerana padang tidak sesuai untuk permainan kami dan akhirnya kami berjaya muncul juara.
“Najmuddin berikan aksi terbaik namun kami mempunyai 23 lagi mesin yang membantu kejayaan ini. Kejuaraan ini adalah milik semua dan bukannya secara individu,” katanya yang sentiasa tersenyum pada sidang selepas perlawanan.
Jurulatih dari Akademi Valencia itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong JDT yang hadir ke Temerloh untuk memberi sokongan kepada pasukan.
“Kami amat gembira berada di sini dan melihat ramai penyokong hadir termasuk Boys of Straits, keluarga, barisan pengurusan, para pemain lain yang turun memberikan sokongan tidak kira dimana sekali pun JDT beraksi.”
Dalam aksi final kedua di Stadium Temerloh itu, JDT III berjaya menewaskan Sri Pahang 2-0 sekaligus muncul juara dengan aggregat 4-2 selepas terikat 2-2 pada final pertama di Pasir Gudang dan membawa pulang trofi serta wang tunai RM100,000.