PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak lagi mengharapkan Stadium Titiwangsa untuk dijadikan stadium khas sukan sepak takraw, selepas berasakan pengambil alihan venue terbabit mustahil untuk direalisasikan.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pihaknya tidak mahu terus memberi tekanan untuk menjadikan stadium milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya berada di bawah pentadbiran PSM.
“Menteri (Hannah Yeoh) ada berbincang dengan saya… DBKL hanya memiliki sebuah stadium yang diguna pakai bagi pelbagai acara, jadi kita tak boleh tekan.
“Begitupun, ktia ada membuat permohonan ke atas Stadium Raja Muda di Kampung Baru, ia di bawah Institut Sukan Negara (ISN).
“Saya mohon kalau dapat bagi kepada PSM untuk dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia.
“Ia sudah mendapat perhatian pihak Menteri (Belia dan Sukan) Hannah Yeoh tetapi perkara ini akan mengambil proses yang panjang kerana kompleks atau stadium ini di bawah ISN,” kata Sumali, sambil mengesahkan banyak proses perlu dilalui baik melibatkan penyelenggaraan, sewaan dan sebagainya.
Menurut beliau, jika Stadium Raja Muda berjaya diambil alih, amat bagus untuk sukan sepak takraw.
“Kompleks ini lengkap dan sesuai dijadikan akademi sepak takraw kerana kemudahannya lengkap dengan bilik kelas, gimnasium, memiliki gelanggang besar dan banyak lagi kemudahan.
“Ia akan menjadi simbol bahawa Malaysia memiliki satu akademi sepak takraw yang besar,” katanya.

Memiliki stadium khas utuk sepak takraw menjadi simbol bahawa Malaysia memiliki satu akademi sepak takraw yang besar. – Datuk Mohd Sumali Reduan, Presiden PSM
Menurutnya, PSM amat mahukan sebuah stadium mahupun akademi yang menjadi lambang penjenamaan, sekali gus menepati status Malaysia sebagai kuasa sepak takraw dunia, sebagaimana Thailand.
Beliau amat memahami kekangan dihadapi kerajaan ketika ini terutamanya melibatkan bajet.
“Jika kerajaan serius menyokong sukan sepak takraw, saya rasa pembinaan stadium boleh dijadikan satu pelan jangka panjang… tidak kisahlah bila stadium baharu itu nak dimulakan,” katanya.
Sebelum ini, FLASH SUKAN melaporkan PSM mengidamkan sebuah stadium khas buat sukan sepak takraw dan mahu menubuhkan akademi sepak takraw sendiri.