SKUAD boling negara terus menggegar Stadium Queen Elizabeths di Hong Kong apabila pasukan lelaki muncul juara Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025, Selasa.

Skuad yang dibarisi Rafiq Ismail, Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol dan Tun Hakim itu melakar sejarah, menjadi kuartet lelaki pertama negara memenangi acara berpasukan sejak Kejohanan Piala Dunia mempertandingkan kategori berpasukan bermula tahun 2022.

Beraksi di atas gelanggang yang dibina khas dalam stadium tertutup itu, skuad lelaki negara diberi tentangan sengit oleh Puerto Rico dalam aksi best of fives.

Skuad negara memulakan langkah cemerlang dengan memenangi permainan pertama dengan melakukan 203 jatuhan pin berbanding lawan, 170.

Biarpun pemain boling negara meningkatkan prestasi di permainan kedua dengan 216 jatuhan, namun Puerto Rico memenanginya dengan 257 jatuhan pin sekali gus mengubah kedudukan 1-1.

Pasukan lelaki meraikan kemenangan perlawanan akhir, ketika menjuarai acara berpasukan lelaki, Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025 di Hong Kong.

Pada permainan ketiga juga sengit apabila Malaysia kembali mencuri kelebihan menerusi kemenangan 197-180, sebelum lawan menyamakan kedudukan 2-2, dengan memenangi permainan keempat 222-185.

Pada permainan terakhir, setiap pemain negara mengurangkan kesilapan dan cuba mengelak daripada menerima split, memenangi perlawanan dengan 227 jatuhan pin berbanding lawan 161, sekali gus muncul juara dengan kemenangan 3-2.

Rafiq yang sebelum ini muncul naib juara acara single, mengakui kelu dengan kemenangan yang diraih kali pertama itu.

“Ini adalah kali pertama kami memenangi acara berpasukan, kami berkomunikasi dengan baik dan berharap dapat meneruskan kejayaan pada akhir tahun nanti iaitu di Kejohanan Dunia pula,” kata Rafiq.