PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nazmi Nasaruddin selepas terpilih menjadi pengadil untuk aksi final Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 20 tahun (B-20) 2023 yang menemukan B-20 Uzbekistan dan B-20 Iraq.

Dalam aksi itu, B-20 Uzbekistan tampil selaku pasukan tuan rumah telah berjaya menewaskan B-20 Iraq 1-0 semalam.

“Penampilan Nazmi di salah satu kejohanan tertinggi Asia itu menjadi satu falah serta contoh yang baik kepada komuniti pengadil tempatan di mana FAM sentiasa berusaha keras untuk mengoptimumkan tenaga pengadil tempatan di pentas dunia,” menurut kenyataan rasmi FAM pada Ahad.

Sepanjang karier, Nazmi telah menjadi pengadil dalam Liga Premier dan Liga Super sejak 2011, dinaikkan pangkat ke senarai pengadil antarabangsa Fifa pada 2016. Dia mengadili banyak perlawanan dalam Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC, sebagai pegawai keempat.

Pada Februari 2017, anak kelahiran Pulau Pinang berusia 33 tahun itu mengadili perlawanan Piala AFC 2017 pertamanya, perlawanan peringkat kumpulan antara Yadanarbon F.C. dan Home United FC.

Malah, dia pengadil termuda yang dipilih FAM ketika bertugas semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 antara Kedah dan Selangor yang dihadiri 78,000 penonton bersama dua pengadil berpengalaman di Stadium Shah Alam.