KEJUTAN Ng Tze Yong menewaskan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen di pusingan kedua Seluruh England beberapa hari lalu, baik buat pemain kebangsaan itu menilai tahap kemampuan dirinya, begitu juga dengan kekalahan kepada pemain China, Li Shi Feng di pusingan berikutnya.
Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berharap Tze Yong menggunakan kemenangan dan kekalahan sebagai pengajaran berguna setiap kali memasuki gelanggang.
“Dia sudah menang ke atas Viktor Axelsen… sekarang dia tahu tahap dia di mana dan dia perlu sedar dia ada kemampuan itu. Tapi selepas itu dia kalah kepada pemain China, saya harap dia menyedari apa berlaku.
“Viktor bermain sebijik-sebijik, lebih kepada taktikal.. sekarang Tze Yong sudah ada kemampuan mengatasinya, tapi menentang Shi Feng, corak permainan berbeza, dia tidak boleh menggunakan cara sama ketika menentang Viktor kerana pemain China itu gemar corak menbyerang dan bermain pantas,” kata Chong Wei, ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Datuk Lee Chong Wei di puncak kegemilangan, suatu masa dahulu. – Sumber Yonex
Gembira dengan pencapaian Tze Yong, Chong Wei yakin pemain itu, dibantu jurulatih sangat berpengalaman seperti Hendrawan, akan dapat mengatasi permainan pemain di ranking-28 dunia itu jika bertemu Shi Feng sekali lagi.
Katanya, Tze Yong perlu belajar menukar corak permainan berbeza dalam perlawanan selain ketika menentang lawan berbeza.

Viktor Axelsen seorang bijak bermain secara taktikal.
“Zaman saya dahulu juga sama, saya jumpa Peter Gade, dia seorang pemain yang tidak bergerak pantas di gelanggang tetapi lebih kepada taktikal, Lin Dan pula gemar menyerang.
“Jadi saya kena kenal setiap lawan setiap kali undian keluar untuk ulangkaji permainan mereka. Sebab itu setiap lawan saya akan gunakan corak permainan berbeza, malah kadangkala setiap set saya gunakan corak berbeza juga.
“Saya melihat Tze Yong beraksi dan dia perlu meningkatkan lagi fizikal, strength dan fitness. Semua ini jurulatih Hendrawan pasti sedar,” katanya.

Li Shi Feng seorang pemain yang gemar menyerang dan mengamalkan corak permainan pantas.
Tze Yong yang kali pertama beraksi di Seluruh England, mengejutkan Viktor Axelsen di pusingan kedua dengan kemenangan 21-15, 9-21, 23-21, sebelum tewas kepada Shi Feng yang berada di ranking ke-14 dunia straight set, 11-21, 11-21.
Tze Yong akan berada di Eropah lebih lama kerana akan meneruskan aksi di Terbuka Switzerland, Spain Masters dan Orleans Masters Perancis, berturut-turut.