SATU insiden pergaduhan yang membabitkan pemain dan pegawai perlawanan telah berlaku semasa Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kubang Pasu Bawah 18 Tahun di Jitra, Kedah.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di padang sebuah sekolah menengah semasa perlawanan pada pagi Selasa.
Menerusi klip video pendek yang tular, pergaduhan tercetus selepas satu perang mulut antara seorang pegawai pasukan dan pengadil yang membawa kepada perasaan tidak puas hati daripada kedua-dua pasukan.
Situasi bertambah tegang apabila terdapat seorang pemain dirakam dalam video menendang ‘curi’ pembantu pengadil dari belakang dan berlaku insiden kejar-mengejar.
Dalam pergaduhan tersebut, beberapa pemain dan pegawai turut terlibat namun segera dihadang pegawai pasukan untuk mengelak insiden lebih buruk berlaku.
Selepas beberapa minit pegawai perlawanan dan seorang pegawai pasukan kelihatan bersalaman sebagai tanda berdamai.
Terdahulu, portal ini melaporkan pergaduhan pemain Melaka FA dan Sri Pahang FC pada saingan Piala Belia 2024 di Stadium Hang Tuah pada 12 Mei lepas.
FLASH SUKAN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Kita tidak boleh bertoleransi terhadap sebarang bentuk keganasan dalam sukan terutama di peringkat sekolah. Sukan sepatutnya menjadi medium untuk membina semangat kesukanan dan perpaduan, bukannya perbalahan dan pergaduhan.
Pihak penganjur dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengambil langkah-langkah untuk memastikan insiden sebegini tidak berulang di masa hadapan.
Semua pihak dapat mengambil iktibar dan bertindak dengan lebih profesional dalam mengendalikan emosi semasa perlawanan berlangsung.
Kejohanan Bola Sepak MSSD Kubang Pasu B-18 akan diteruskan dengan jadual yang telah ditetapkan, namun langkah keselamatan tambahan akan diambil bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.