Negeri Sembilan Antlers membuka kempen Sepak Takraw League (STL) 2026 dengan kemenangan apabila menewaskan Perak Bison 2-1 dalam aksi Perlawanan Sumbangsih, hari ini.
Negeri Sembilan menurunkan Muhammad Haziq Hairul Nizam sebagai tekong, dengan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan dan Amirul Farabin Shaifudin di posisi apit kanan, manakala Zulefendi Sumari serta Afiq Badli Andi mengisi bahagian apit kiri.
Perak Bison pula mempertaruhkan Khatthadet Srichan, Najmi Syafiq Anuar dan Chanchai Sarika sebagai barisan tekong, manakala Muhammad Norizat Mohd Nordin, Madzrul Aziz Mat Tahir dan Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa mengisi posisi apit kanan. Amirul Zazwan Amir serta Syafiq Mustakim Md Saad pula berada di bahagian apit kiri.
Negeri Sembilan kemudian memulakan aksi dengan baik apabila menguasai set pertama 15-9 untuk memperoleh kelebihan awal dalam perlawanan tersebut.
Perak Bison bagaimanapun bangkit pada set kedua dengan permainan lebih tersusun sebelum mencatat kemenangan 15-8, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi set ketiga.
Dalam set penentuan, Negeri Sembilan kembali mengawal rentak permainan dan tidak memberikan banyak ruang kepada Perak untuk mengembangkan permainan.
Antlers akhirnya menutup set ketiga dengan kemenangan 15-5 untuk mengesahkan kemenangan 2-1, sekali gus menumbangkan juara STL Premier musim lalu dalam aksi pembukaan musim.
Kemenangan itu memberikan suntikan awal buat Negeri Sembilan yang turut muncul juara Champions Cup sebelum ini, manakala Perak Bison perlu segera bangkit menjelang saingan STL Premier yang akan bermula pada 21 Oktober.
Aksi Piala Sumbangsih berkenaan turut menjadi pembuka tirai musim ke-12 STL sebelum saingan STL Division 1 bermula pada 7 Oktober ini.