NEGERI Sembilan FC (NSFC) menggesa Malaysian Football League (MFL) memberikan kemenangan percuma atau walkover kepada mereka selepas perlawanan Unifi Liga Super 2026/27 menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) tidak dapat dilangsungkan.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada jam 5 petang hari ini terpaksa dibatalkan selepas MFL menerima permohonan rasmi daripada KL City berhubung masalah kesihatan yang melanda skuad mereka.

Dalam satu kenyataan, pengurusan NSFC meluahkan kekecewaan terhadap keputusan berkenaan terutama kerana kelab itu selaku tuan rumah telah membuat persiapan rapi.

NSFC turut mendakwa keputusan yang diumumkan pada saat-saat akhir memberi impak besar kepada kelab termasuk melibatkan kos pengurusan yang telah dikeluarkan.

Lebih mengecewakan, kelab itu memaklumkan kira-kira 5,000 penyokong telah terkesan susulan pembatalan tersebut termasuk mereka yang sudah membeli tiket lebih awal serta merancang perjalanan ke stadium.

Sehubungan itu, NSFC dengan tegas menuntut kemenangan secara “walkover” diberikan kepada Negeri Sembilan FC memandangkan perkara tersebut berlaku di luar kawalan pihak kelab dan bukan berpunca daripada pengurusan skuad Jang.

Walaupun aksi tidak dapat dilangsungkan, NSFC tetap akan menggunakan fasiliti yang telah disediakan dengan mengadakan sesi latihan terbuka di stadium pada petang ini.

Sebagai tanda penghargaan kepada penyokong, pihak pengurusan turut mengalu-alukan kehadiran peminat ke stadium untuk menyaksikan sesi latihan berkenaan.

Dalam pada itu, NSFC memohon maaf kepada penyokong yang telah membuat perancangan perjalanan untuk hadir ke stadium, sambil memberi jaminan akan terus mempertahankan kepentingan kelab dan para penyokong.