KETUA jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, menzahirkan rasa puas hati terhadap kemenangan keenam berturut-turut pasukannya selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ semalam.
Namun, beliau menegaskan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki untuk memastikan prestasi pasukan terus konsisten dalam saingan mendatang.
“Saya tidak mengira enam kemenangan, tetapi jika anda katakan begitu, itu bagus. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan, tetapi dari segi kandungan permainan, saya masih belum puas.
“Kami perlu memperbaiki banyak perkara dan menjalani lebih banyak sesi latihan, terutama dengan tiga perlawanan berturut-turut menentang Penang FC selepas ini, termasuk dalam Piala Cabaran dan Liga Super,” kata Kinoshi.

Kinoshi menegaskan bahawa latihan dan persediaan rapi adalah keutamaan untuk memastikan Selangor terus kompetitif dalam semua pertandingan, termasuk Piala Cabaran, Liga Super, dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
“Saya sentiasa memilih pemain terbaik untuk setiap perlawanan, tidak kira jenis pertandingan. Pasukan ini mesti terus belajar dan berlatih untuk memberi kegembiraan kepada penyokong. Misi utama kami adalah membuat penyokong Selangor gembira,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai prestasi Ronnie Fernandez, Kinoshi mempertahankan pemain itu, menekankan bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada permainan bola sepak.
“Pemain berhak untuk melakukan kesilapan. Ronnie mungkin membuat kesilapan, tetapi dia juga bermain dengan sangat baik. Kami tidak boleh menyalahkan pemain hanya kerana satu kesilapan.
“Saya percaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan, dan saya yakin mereka akan terus menunjukkan kemajuan,” ujar Kinoshi.

Beliau juga memuji semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh anak buahnya dalam perlawanan menentang KL City.
“Kami sentiasa bercakap mengenai pentingnya berjuang sebagai satu pasukan. Gol adalah hasil kerja keras bersama.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemain, termasuk mereka yang tidak beraksi hari ini. Pasukan ini sentiasa bekerja keras untuk mencapai tiga mata dengan sokongan padu daripada penyokong,” katanya.

Kinoshi turut menekankan bahawa Selangor tidak terlalu memikirkan kedudukan liga buat masa ini, tetapi lebih fokus kepada setiap perlawanan yang akan datang.
“Kami fokus pada perlawanan seterusnya. Jika kita dapat mencapai kedudukan kedua atau mungkin lebih tinggi, saya akan sangat gembira.
“Namun, matlamat utama adalah membina pasukan yang kuat dengan identiti Selangor, iaitu bola sepak yang tidak pernah menyerah kalah, kerja keras, dan belajar dari setiap perlawanan,” tegasnya.
Dengan kemenangan ini, Selangor terus mengukuhkan momentum mereka dalam saingan Liga Super dan kelihatan bersedia untuk menghadapi jadual padat, termasuk tiga pertemuan penting menentang Penang yang dijangka akan menjadi ujian besar buat pasukan Gergasi Merah.
FOTO: SFC