Kredit Gambar: MSN Malaysia
Hasrat Malaysia untuk menambah kutipan pingat menerusi acara para powerlifting Sukan Komanwel Glasgow 2026 tidak kesampaian apabila Nicodemus Manggoi Moses menamatkan saingan di kedudukan keempat kategori heavyweight lelaki, manakala Bryan Junency Gustin gagal mencatat sebarang angkatan.
Nicodemus memberikan saingan sengit dalam aksi yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo apabila melakukan angkatan terbaik 200 kilogram (kg) untuk mengumpul 120.3 mata, namun keputusan itu belum cukup untuk membawanya ke podium.
Pingat emas dimenangi atlet Nigeria, Riluwan Idris yang mencatat angkatan 208kg dengan 132.8 mata, diikuti wakil England, Matthew Harding yang meraih perak menerusi angkatan 199kg dan 131.0 mata. Gangsa pula menjadi milik atlet India, Jhandu Kumar selepas mengumpul 130.9 mata hasil angkatan terbaik 190kg.
Sementara itu, Bryan, yang juga abang kepada jaguh negara Bonnie Bunyau Gustin, berdepan nasib malang apabila ketiga-tiga percubaan angkatannya tidak disahkan.
Atlet itu gagal menyempurnakan dua percubaan awal pada bebanan 196kg sebelum turut gagal pada percubaan terakhir seberat 201kg, sekali gus menamatkan saingan tanpa sebarang angkatan yang sah direkodkan.
Acara para powerlifting di Glasgow 2026 mempertandingkan kategori lightweight dan heavyweight bagi lelaki serta wanita, dengan kedudukan pemenang ditentukan menerusi sistem pemarkahan yang mengambil kira angkatan terbaik dan berat badan atlet.