Kredit Gambar: MSN Malaysia
Jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin mungkin gagal mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel, namun jurulatihnya, Mohamad Shahibullah Ambi tetap berbangga dengan usaha yang dipamerkan atlet itu sepanjang pertandingan.
Menurut Shahibullah, Bonnie sudah memberikan aksi terbaik walaupun masih dalam proses mendapatkan semula prestasi optimum selepas pulih daripada kecederaan pada bahagian kiri dada yang dialaminya awal tahun ini.
“Kami menerima keputusan hari ini. Pada angkatan ketiga, kami mencuba 230 kilogram untuk memburu emas, tetapi bukan rezeki. Bonnie juga baru pulih daripada kecederaan dan saya bersyukur dia tetap memberikan yang terbaik,” katanya.
Beliau menjelaskan, juara Paralimpik dua kali itu masih menjalani program latihan secara berhati-hati di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN) dan tahap keselesaannya sentiasa diberi perhatian sebelum meningkatkan intensiti latihan.
Shahibullah turut percaya proses menurunkan berat badan bagi memenuhi syarat kategori lightweight di bawah 72 kilogram memberi sedikit kesan terhadap tahap tenaga Bonnie ketika pertandingan berlangsung.
“Sepanjang minggu pertandingan, dia perlu menurunkan berat badan dan mungkin itu antara faktor tenaganya sedikit berkurangan. Bagaimanapun, kami menerima keputusan ini dan akan melakukan penambahbaikan,” katanya.
Pada saingan di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo, Bonnie melakukan angkatan terbaik 220kg untuk mengumpul 153.5 mata sekali gus meraih pingat gangsa.