“KALAU boleh, jangan tunggu 100 hari (genap sebagai presiden)… kalau boleh selesai sekarang, kita selesai sekarang.”
Itu tegas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika mengulas isu kontrak gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah yang masih belum menemui titik noktah biarpun sudah lebih enam bulan berlalu.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mahu isu kontrak Pearly-Thinaah selesai segera.
Beliau menegaskan, keutamaan sekarang adalah memastikan kestabilan dan fokus penuh pemain, khususnya menjelang temasya penting dan kejohanan berstatus tinggi yang semakin hampir.
“Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan, dan secara peribadi saya minta perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Kita perlukan kepastian. Bila ada kepastian, pemain pun boleh fokus 100 peratus,” katanya, ketika melawat sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Beliau yang baru sebulan dipilih sebagai presiden baharu BAM berkata, pelbagai pandangan dan pertimbangan dalam kalangan pengurusan, jurulatih, bekas pemain dan juga penaja diambil kira, namun keputusan mesti berpandukan kepada hasil dan kesejahteraan pemain itu sendiri.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Pearly-Thinaah masih menerima gaji dan kemudahan walaupun belum menandatangani kontrak, Tengku Zafrul tidak menafikannya namun menjelaskan bahawa semua dilakukan mengikut prosedur sedia ada.
“Kalau mereka terima gaji, itu sebab mereka masih lagi sebahagian daripada struktur kita. Tapi kita perlukan penyelesaian rasmi,” katanya lagi.