PENGUMUMAN Malaysian Football League (MFL) mengenai keputusan memberikan lesen bersyarat kepada Perlis United untuk beraksi sebagai pasukan ke-14 dalam Liga Super musim 2024-25 depan menerima respons pelbagai daripada bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali.

Persatuan Bola Sepak Perlis sebelum ini digantung penyertaan dari Liga Malaysia oleh Fifa selepas kegagalan menjelaskan bayaran gaji kepada pemain Perlis Northern Lions pada 2019.

Safee yang juga salah seorang pemain Perlis Northern Lions ketika itu menyatakan tidak salah jika Perlis United diberikan lesen bersaing di Liga Super tetapi dia turut berpendapat bahawa sepatutnya mereka perlu menyelesaikan semua tunggakan yang melibatkan pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan.

Safee ketika ditemui media di Program Demi Rimba Kita anjuran Astro di Taman Tugu.

“Sebelum mereka dibenarkan beraksi di peringkat tertinggi, perkara itu perlu diselesaikan dahulu dan buktikan dengan pelaksanaan. Selesaikan masalah seperti masalah melibatkan Fifa seperti hutang gaji dengan pemain, jurulatih.

“Kemudian baru fikir hendak main di Liga Super. Perlis bukan tidak bagus malah ada penyokong yang ramai tetapi masalah utama perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Program Demi Rimba Kita 2024 anjuran Astro pada Khamis.

Selain itu Safee turut menyatakan bahawa Singa Utara tidak boleh menggunakan nama Perlis untuk bertanding sekiranya belum menyelesaikan masalah tunggakan kepada badan induk bola sepak dunia itu.

Safee turut menyertai acara ‘scavanger hunt’ di Program Demi Rimba Kita 2024

“Nama Perlis sudah tidak boleh digunakan untuk liga di Malaysia. Untuk gunakan nama Perlis dan jika hendak beraksi di bawah naungan FA, mereka perlu selesaikan perkara lama terlebih dahulu baru Fifa boleh beri keizinan,” katanya.

Sebelum ini, Perlis United dilaporkan berpotensi menerima penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja untuk bertanding di Liga Super dan MFL memberikan tempoh masa untuk mereka memenuhi syarat tambahan.

ARTIKEL BERKAITAN : Singa Utara sedia pertahankan maruah kelab dan banggakan penyokong