PENGENDALI Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz tidak menyembunyikan kekecewaan apabila pasukannya tewas 0-4 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.

Dia yang ditemui pada sidang media selepas perlawanan mengakui pasukannya bermain baik pada babak pertama tetapi kegagalan mengikut arahan menjadikan separuh masa keadaan yang berbeza berbanding 45 minit pertama permainan.

Negeri Sembilan bolos empat kali selepas perlawanan bersambung dan Azzmi mahu anak-anak buahnya bangkit untuk bertemu lawan yang sama pada peringkat 16 terbaik Piala FA.

Azzmi jelas kecewa dengan persembahan pasukannya pada babak kedua.

“Sangat kecewa pada babak kedua kerana pemain tidak ikut arahan dan beri peluang Selangor bermain ‘link up’ di tengah. Segalanya baik pada separuh masa pertama tetapi pemain tidak fokus, terlalu ‘soft’ memasuki babak kedua dan kita perlu kerja keras untuk lawan Selangor semula pada Piala FA nanti.

“Meskipun tanpa dua pemain, tiada isu dalam ‘line up’ cuma kami gunakan formasi berbeza dan kesilapan individu beri peluang pada Selangor untuk cipta peluang. Kami bermain lebih baik ketika menentang JDT tetapi hari ini tidak berjaya,” katanya.

Azzmi juga memohon maaf kepada para penyokong yang hadir ke stadium dan mengakui banyak yang perlu diperbaiki dari segi taktikal di atas padang untuk menjadi pasukan yang lebih baik selepas rehat antarabangsa ini.

Aksi ketika pertemuan Selangor dan Negeri Sembilan.

“Saya mohon maaf kepada penyokong NSFC yang datang dengan harapan baik buat kelab tetapi kita akan perbaiki segala kelemahan dan akan tampil lebih baik bermula pada saingan Piala FA nanti,” jelasnya.

Negeri Sembilan kita ditangga terbawah liga selepas dua perlawanan dengan dua kekalahan berturut-turut dan perlu bangkit serta mengelak dari zon relegasi selepas saingan Liga Super bersambung semula pada Jun.