BEKAS penyerang kebangsaan dan Selangor Nizaruddin Yusof  berkongsi pendapat bahawa Nidzam Jamil wajar diberi peluang untuk mengemudi pasukan Selangor FC bagi musim baharu kelak.

Sehingga kini Selangor FC masih belum menggantikan posisi Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe Ini selepas pengunduran mengejut untuk melatih pasukan dari Thailand, Police Tero FC minggu lalu dan Nidzam kini bertindak sebagai pemangku jurulatih.

“Bagi saya persiapan pasukan The Red Giants sedikit terjejas disebabkan pengunduran coach Tan Cheng Hoe, namun mereka masih ada lagi masa (dua bulan) untuk sediakan pasukan sebelum liga bermula.

“Yang saya tahu pemain yang sedia ada dan baharu sertai pasukan merupakan pilihan Tan Cheng Hoe sendiri. Jadi ia sangat merugikan kerana pemain yang ada adalah pilihannya.

Nidzam kini pemangku jurulatih Selangor FC

“Saya berharap sangat jurulatih yang baharu yang akan mengambil tempat yang dikosongkan oleh coach Tan untuk teruskan apa yang telah dibuat atau menambah lagi idea untuk pasukan Selangor,” ujarnya ketika ditemui Hari Terbuka XSelangor Soccer School di Stadium Mini Shah Alam pada Sabtu.

Malah Nizaruddin menegaskan bahawa  tiada orang lain yang lebih sesuai untuk mengemudi pasukan Selangor musim ini melainkan Nidzam

“Coach Nidzam dah ada bersama pasukan sejak dua musim lalu jadi tak salah untuk bagi dia peluang bagi buktikan kemampuannya menjadi peneraju pasukan Selangor.

“Saya berharap kalau dia dilantik menjadi ketua jurulatih secara kekal, saya nampak dia ada idea sendiri untuk menjadikan pasukan Selangor lebih kuat dan juga mencabar Johor Darul Ta’zim FC apabila musim bermula,” tambahnya lagi.

Dia juga berharap penyokong memberi sokongan dan masa terhadap mana-mana jurulatih baharu yang dilantik untuk mengemudi The Red Giants agar dapat menyesuaikan diri dalam pasukan serta semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal yang akan digunakan.