FOTO: PERAK FC

RAMAI peminat The Bos Gaurus tidak mengetahui bahawa Luciano Guaycochea yang menjaringkan gol penyamaan sebenarnya masih dihimpit isu kecederaan.

Ia didedahkan pengendalinya, Yusri Che Lah semasa sidang media selepas perlawanan pada aksi terakhir Perak FC Liga Premier 2022 yang berkesudahan seri 1-1 bertemu Kuching City FC di Ipoh.

Jelas Yusri pada mulanya dia tak mahu menurunkan pemain asal Argentina itu tetapi kesungguhan ditunjukkan Guaycochea membuatkan dia disenaraikan di bangku simpanan.

“Untuk makluman semua dia tak berlatih dekat satu bulan dalam satu minggu ni dia jumpa saya nak bermain untuk saya. Jadi saya amat terharu apabila dia nak main.

“Saat akhir saya buat keputusan pukul 7 malam (sebelum perlawanan) sama ada dia dalam bench atau pun tidak. Saya buat keputusan letakkan dia juga dalam senarai.

“Saya masukkan dia pun dalam keadaan kita perlu jadi jaringan dia bagi saya amat tersentuh,” ujar Yusri.

Wan Zack Haikal juga masih belum cergas beraksi namun diturunkan menentang Kuching City.

Dia juga mendedahkan Wan Zack Haikal belum bersedia untuk bermain kerana juga alami kecederaan tetapi menunjukkan keberanian tampil beraksi sebagai pemain gantian.

“Walaupun pada perlawanan ini tidak dapat tiga mata tapi pemain yang comeback, saya harap peminat boleh menerima keputusan seri,” katanya bakal melatih skuad Perak B-23 musim depan.

Dia berterima kasih kepada seluruh penyokong dan peminat Seladang yang sudi memenuhi stadium dan menafikan kehadiran ke Perak FC adalah faktor wang semata-mata.

“Saya cuba yang terbaik membawa Perak kembali ke landasan sebenar sungguhpun tidak berkesempatan tetapi saya pasti usaha saya Allah akan juga akan bagi laluan terbaik di masa akan datang kerana kita belum tahu bagaimanakah perjalanan seterusnya.

“Contohnya dimanakah pemain muda Perak akan diletakkan. Jadi kita seharusnya memberi ruang kepada semua pemain dan bagi peminat bagi sokongan kepada Perak musim akan datang,” akhirinya sebelum meninggalkan sidang media.