PERANAN Malaysia dalam landskap sukan Asia terus mendapat perhatian apabila Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Norza Zakaria diberi pertemuan khas bersama Presiden Republik Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, sempena Perhimpunan Agung ke-46 Majlis Olimpik Asia (OCA) yang berlangsung di Tashkent, Isnin lalu.
Pertemuan berprestij itu berlangsung selepas Dr. Norza menghadiri Perhimpunan Agung OCA dalam kapasiti beliau sebagai Naib Presiden OCA bagi Zon Asia Tenggara, dengan MOM turut diwakili Timbalan Presidennya, Dr. Nur Azmi Ahmad serta Setiausaha Agung, Mohd Nasir Ali. Perhimpunan berkenaan dirasmikan oleh Pemangku Presiden OCA, Timothy Fok dan disusuli mesej video Presiden IOC, Kirsty Coventry.

Dalam persidangan itu, Dr. Norza membentangkan laporan bertulis merangkumi aspek tadbir urus Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC), analisis penyertaan Sukan Belia Asia ke-3, program OCA, sambutan Hari Olimpik 2025 serta persiapan Sukan SEA ke-33 yang melibatkan kesemua 11 NOC Asia Tenggara bagi tempoh Mei 2025 hingga Januari 2026, dengan laporan berkenaan diterima dan diluluskan sebulat suara.
Perhimpunan Agung tersebut turut mencatat detik penting apabila Presiden NOC Qatar, Sheikh Joaan bin Hamad Al-Thani dipilih secara rasmi sebagai Presiden baharu OCA, sekali gus menandakan permulaan era kepimpinan baharu badan induk sukan Asia itu. Presiden Uzbekistan kemudiannya menyampaikan Anugerah Order of Honour NOC Uzbekistan kepada Sheikh Joaan sebagai penghargaan atas sumbangan beliau memajukan Gerakan Olimpik di Asia.

Dr. Norza menyifatkan penganjuran perhimpunan itu sebagai satu kejayaan besar sambil menyampaikan ucapan tahniah kepada tuan rumah. “Bagi pihak semua NOC Asia Tenggara, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Mulia Shavkat Mirziyoyev dan NOC Uzbekistan atas penganjuran cemerlang Perhimpunan Agung OCA ke-46 di Tashkent,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa Presiden Uzbekistan menyampaikan salam mesra khusus kepada Malaysia dalam pertemuan tersebut. “Dalam pertemuan khas bersama beliau, Presiden Mirziyoyev menyampaikan salam mesra kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar Dr. Norza.

Mengulas kepimpinan baharu OCA, Dr. Norza menegaskan komitmen Asia Tenggara untuk terus menyokong hala tuju Sheikh Joaan. “Kami juga mengucapkan tahniah kepada Sheikh Joaan bin Hamad Al-Thani atas pemilihan beliau sebagai Presiden baharu OCA dengan mandat penuh daripada semua NOC Asia. Kami menantikan untuk menyokong kepimpinan beliau dalam memperkukuh dan memajukan Gerakan Olimpik di seluruh Asia,” katanya.
Pertemuan khas itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara suara penting dalam ekosistem sukan Asia, selain mencerminkan hubungan erat diplomasi sukan antara Asia Tengah dan Asia Tenggara di pentas Olimpik.