BAKAL jurulatih perseorangan remaja kebangsaan, Yeoh Kay Bin mengakui gembira dan teruja dengan tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana menepati kehendak serta minatnya dalam pembangunan bakat muda, sekali gus menjadi platform ideal untuk menyumbang semula kepada badan induk itu.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, peranannya yang menumpukan kepada pengelompokan pemain berbakat bagi persediaan ke peringkat senior adalah pendekatan yang cukup dekat dengan falsafah kejurulatihannya.

“Ini adalah program kumpulkan pemain yang ada bakat dan sediakan mereka ke tahap senior, jadi ini memang program yang saya suka,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Kay Bin, peranannya kali ini berbeza kerana BAM memiliki pemain junior terbaik negara dan misi utama adalah mempersiapkan mereka menghadapi cabaran lebih besar di peringkat senior.

“Sekarang berbeza kerana semua pemain di BAM adalah yang terbaik di peringkat junior, jadi misinya lain dan kita kena sediakan mereka untuk ke level senior,” tambahnya.

Mengulas kepulangannya ke BAM, Kay Bin mengakui teruja kerana kembali ke tempat yang membentuk kariernya, namun kali ini dalam kapasiti sebagai jurulatih.

“Saya teruja sebab saya juga produk BAM, cuma kali ini peranan saya berbeza apabila kembali sebagai jurulatih.”

Kay Bin yang dijangka memulakan tugas secara rasmi pada Februari depan mengakui cabaran membangunkan perseorangan lelaki remaja adalah besar, namun percaya kerjasama dengan barisan jurulatih sedia ada mampu membantu mengangkat semula prestasi sektor itu.

Esok, BAM dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan jurulatih baharu yang akan berkuatkuasa Februari ini.