BEREGU campuran negara dijangka mengungguli dua kejohanan besar Jelajah Dunia Julai ini, selepas beberapa gandingan utama dunia dipisahkan dan bersara.
Justeru, ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menyasarkan sekurang-kurangnya satu gelaran di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang bermula minggu depan, dan Terbuka China selepas itu.
Menurut Nova, kejayaan beregu lelaki dan wanita baru-baru ini menjadi pembakar semangat buat barisan beregu campuran negara untuk menggapai kejuaraan sulung tahun ini, apatah lagi dalam kejohanan bertaraf Super 750 (Jepun) yang setakat ini masih ‘jauh’ daripada genggaman skuad campuran.

“Kita memang ada motivasi besar. Tahun ini belum ada kejuaraan daripada beregu campuran, tapi kalau kita tengok peluang sekarang terbuka kerana ramai pasangan top seperti Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong sudah tak main bersama. Jadi peluang untuk semua pasangan termasuk kita lebih cerah, asalkan bersedia dari segi mental dan persiapan,” kata Nova selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Tambahnya, pasangan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang sebelum ini berdepan isu komunikasi, kini dilihat semakin serasi semula, malah mula menikmati permainan mereka dengan lebih tenang dan matang dalam sesi latihan, meskipun prestasi di kejohanan masih belum mencapai tahap maksimum.
Nova turut mendedahkan beberapa kombinasi baharu sedang diuji melibatkan pasangan yang berpotensi.
“Kalau boleh saya nak tiga atau empat pasangan saja yang benar-benar boleh pergi jauh. Kita tak nak sekadar cukup kuota. Jadi siapa yang tunjuk potensi di IC (International Challenge), kita akan beri peluang. Tapi kalau belum stabil, mental tak kuat, kita kena tukar,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Nova mengakui bahawa pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran kekal sebagai pencabar paling konsisten dan perlu diberi perhatian serius di Jepun dan China, berbanding pasangan Hong Kong,Tang Chun Man-Tse Ying Suet (nombor 3 dunia) yang dianggap masih belum stabil berbanding sebelum ini.
Justeru, ‘kekosongan kuasa besar’ yang ditinggalkan dalam beregu campuran, perlu dimanfaatkan dalam saingan Super 750 (Terbuka Jepun) dan Terbuka China (Super 1,000).