ATLET lompat tinggi negara, Norliyana Kamaruddin kini menjadi taruhan utama kontinjen olahraga bagi memburu emas di Sukan SEA 2025 Disember ini, selepas menunjukkan kebangkitan luar biasa dengan meraih emas di Kejohanan Terbuka Thailand baru-baru ini.

Jurulatih olahraga negara, Muhamad Malik Tobias mendedahkan pelan latihan Norliyana kini memasuki fasa agresif dengan sekurang-kurangnya empat kejohanan kompetitif telah disusun sebagai platform membina semula keyakinan dan menilai kemuncak prestasi anak buahnya itu.

“Liana bukan calang-calang. Emas dengan lompatan 1.75 meter baru-baru ini bukan sekadar pingat, ia isyarat bahawa dia sudah bersedia kembali menggegar Asia Tenggara,” kata Malik ketika ditemui sejurus tiba dari Bangkok di KLIA Terminal 2, semalam.

Atlet berusia 27 tahun itu, sebelum ini hampir digugurkan daripada senarai utama selepas kecederaan lutut menjejaskan prestasinya tahun lalu, namun semangat juang luar biasa menyaksikan dia bangkit, malah sudah hampir mencapai semula tahap emas Sukan SEA 2017.

“Kami tak mahu terburu-buru. Fokus utama kami sekarang adalah mendapatkan konsistensi sekitar 1.76 hingga 1.78 meter terlebih dahulu sebelum pergi lebih tinggi. Sukan SEA bukan soal siapa paling kuat sahaja, tapi siapa paling tenang dan tepat pada harinya,” katanya.

Menurut Malik, saingan utama Norliyana dijangka datang daripada wakil tuan rumah Thailand yang memiliki catatan lompatan sekitar 1.80m hingga 1.83m. Namun, beliau percaya rekod peribadi Liana iaitu 1.82m mampu memberikan cabaran sebenar jika segalanya menjadi di hari kejohanan.

“Potensi dia belum habis. Kalau dia mampu capai paras terbaik pada hari pertandingan, tak mustahil kita boleh rampas semula emas. Apa yang penting sekarang ialah kekuatan mental dan momentum pertandingan,” tegasnya.