DESAS-desus mengenai kepulangan semula Tan Sri Hamidin Mohd Amin ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini menjadi buah mulut penggiat bola sepak tempatan apabila dikhabarkan nama beliau bakal dicadangkan sebagai Presiden Kehormat FAM dalam Kongres Luar Biasa badan induk itu pada Isnin ini.
Walaupun jawatan tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif atau elaun, cadangan ini dilihat sebagai satu bentuk penghormatan tertinggi kepada Hamidin atas jasa besarnya sepanjang menerajui FAM dari 2018 hingga awal 2024 — termasuk kejayaan bersejarah membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2022 dan memperkemas struktur bola sepak profesional negara.
Sekiranya benar, Hamidin akan menjadi individu kedua dalam sejarah FAM yang menerima pengiktirafan ini selepas Almarhum Sultan Ahmad Shah dianugerahkan jawatan sama pada tahun 2014.
Pelantikan ini juga tidak akan menjejaskan kuasa presiden semasa memandangkan jawatan Presiden Kehormat tidak terbabit secara langsung dalam urusan operasi harian FAM dan tidak mempunyai hak mengundi seperti termaktub dalam Artikel 22 Statut FAM.
Malah, langkah ini selari dengan amalan badan sukan antarabangsa yang sering mengiktiraf jasa pemimpin terdahulu atas sumbangan mereka terhadap pembangunan sukan negara.
Walaupun tidak rasmi, cadangan ini dijangka mendapat sokongan sebulat suara dalam kalangan ahli Kongres memandangkan reputasi Hamidin sebagai antara arkitek utama kebangkitan semula Harimau Malaya dalam era bola sepak moden.