NEGERI Sembilan Football Club (NSFC) dan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) telah memeterai satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan untuk memajukan sukan bola sepak di Negeri Sembilan pada Khamis.
M0U yang ditandatangani di sebuah hotel terkemuka di Seremban adalah langkah penting dalam memperkuatkan kerjasama antara institusi pendidikan dan kelab sukan tempatan.
KYNS, sebagai salah satu institusi pendidikan di Negeri Sembilan, telah menunjukkan komitmen yang cemerlang dalam pembangunan insan melalui pendidikan berkualiti bakal membantu membantu memberi nilai tambah dalam kerjaya pemain muda NSFC.
Dengan kerjasama ini, KYNS dan NSFC akan bekerjasama dalam pembangunan bakat tempatan, selain menyediakan program latihan dan pendidikan kepada pemain.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Haji Aminuddin Harun menjelaskan buat pertama kalinya NSFC membuat pemilihan pemain bawah 18 tahun dengan membentuk dua pasukan bola sepak iaitu skuad Negeri Sembilan Bawah 18 dan skuad pelapis bawah 18 di bawah Kolej Yayasan Negeri Sembilan FC.
“Program ini adalah inisiatif di bawah Pendidikan TVET Sukan Madani Negeri Sembilan dalam sukan bola sepak dan penglibatan KYNS dalam menyediakan program latihan yang berkualiti dan berimpak tinggi adalah selari dengan misi dan visi kerajaan pada hari ini.
“Menjadi harapan saya agar MoU yang dimeterai memberikan nafas segar kepada kerjasama antara KYNS dan NSFC,” ujarnya.
MoU ini menunjukkan komitmen KYNS dan NSFC dalam memajukan sukan bola sepak di Negeri Sembilan dan ianya tidak hanya akan memberi impak positif kepada perkembangan atlet-atlet tempatan, tetapi kepada pembangunan sosial, ekonomi, dan budaya di Negeri Sembilan secara keseluruhannya.