Foto dan info: Two Wheels

LITAR Horizon Beranang yang terletak di daerah Hulu Langat difahamkan bakal dibuka secara rasmi pada bulan April ini setelah kerja-kerja pembinaan kini siap sepenuhnya.

Dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang dan hasil daripada Horizon Motorsports, satu lagi litar telah berjaya disiapkan bagi menghangatkan lagi industri permotoran dua roda di Malaysia.

Secara kronologi tentang usaha pembinaan litar di Hulu Langat ini, rangka dan perancangan awal telah dibuat pada tahun 2022 oleh pihak berkaitan.

Pelan Litar Beranang yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi Two Heels.

Seterusnya, dengan kepantasan dan sikap penuh bertanggungjawab atas projek yang ingin dibangunkan, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada bulan Julai 2023 dan tidak mencecah setahun untuk menyiapkan Litar Beranang ini.

Lebih mengagumkan, litar ini telah dibangunkan dengan bajet yang dikeluarkan sendiri tanpa bantuan luar, selain dari Horizon Motorsports Management Sdn Bhd yang bertungkus-lumus demi menjayakan projek ini dengan penuh cekap dan pantas.

Hasilnya, litar sepanjang satu kilometer serta adanya fasiliti lain seperti pit, ruang penonton, kawasan pakir kenderaan, kafe telah berjaya didirikan dalam kawasan tanah seluas enam hekar ini.

Terdapat fasiliti lengkap untuk kegunaan di Litar Beranang.

Dengan adanya Litar Beranang ini, ia boleh dijadikan satu contoh bagi negeri-negeri dan pihak lain agar sama-sama mendokong arena sukan permotoran di Malaysia dengan menempatkan satu kawasan untuk pembangunan litar.

Atlet-atlet dan peminat sukan permotoran dari Lembah Klang pastinya akan berkumpul di Litar Beranang setelah litar itu dibuka secara rasmi, tidak lama lagi.

Selain Litar Beranang, difahamkan juga bahawa Litar Pasir Gudang akan dinaik taraf dan kembali dengan wajah baharu, sejurus menempatkan pasukan JDT Racing Team, dan Johor Motorsports Racing Team, suatu hari kelak.