PENYERANG gol (GA) muda KL Wildcats, Khairul Najiha Iman Sholahudin berbangga dapat bermain untuk pasukan juara bertahan ini yang memberinya peluang melakukan debut dalam Netball Super League (NSL) 2022.
Lebih mesra dipanggil Iman, gadis berusia 20 tahun ini sudah mula mengenali bola jaring sejak berusia tiga tahun kerana pendedahan yang diberikan kakaknya, Khairul Najuwa yang juga bermain untuk KL Wildcats di barisan pertahanan.
Iman mengakui dia lebih teruja dapat bergandingan dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman dan belajar perkara baharu serta berharap dapat melakukan yang terbaik dalam NSL 2022.
“Saya sudah lama bermain di posisi GA dan apabila sudah berlatih bersama-sama. Jurulatih memberikan posisi ini kepada saya pada setiap perlawanan. Saya mula bermain bola jaring sejak berusia tiga tahun dengan kakak saya yang turut berada di dalam pasukan adalah individu yang mendedahkan saya kepada sukan ini.
“Gandingan dengan pemain kebangsaan banyak membantu saya dalam perlawanan kerana mereka banyak memberikan sokongan sama ada di dalam mahupun luar padang sekaligus memudahkan tugas saya.
“Saya amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Wildcats dan akan lakukan yang terbaik untuk bantu mempertahankan kejuaraan dalam penampilan pertama saya di NSL,” jelas Iman dalam temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.
Turut bersama adalah kapten KL Wildcats, Diyanah Sabadinee yang menganggap tugas sebagai kapten untuk musim ini lebih mencabar kerana mula menjadi tumpuan media dan peminat.
Diyanah juga tiada masalah untuk bermain dengan pemain-pemain muda kerana mereka berada dalam pasukan Sukma yang sama dan menjadikan NSL sebagai medan persediaan sebelum ke Sukma.
Kapten berusia 22 tahun ini juga sudah bersedia untuk berhadapan musuh utama, Johor Jewels minggu hadapan dan akan cuba sedaya upaya untuk muncul juara sekali lagi.
“Menjadi kapten Wildcats untuk musim ini agak mencabar kerana NSL sudah semakin dikenali ramai dan saya mula mendapat tekanan apabila menjadi tumpuan terutama daripada penganjur, media dan peminat.
“Saya tiada masalah dengan skuad muda ini kerana pemain yang baru menyertai pasukan adalah pemain pasukan Sukma. Kami gunakan NSL sebagai medan latihan ke Sukma kerana kami mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi.
“Untuk menghadapi Johor Jewels, kami akan terus menjalani latihan dan memahami gandingan yang ditetapkan jurulatih. Segala taktikal bergantung kepada lawan yang kita temui dan berharap dapat lakukan yang terbaik untuk muncul juara sekali lagi,” ujarnya.