PASUKAN Johor Jewels dan Terengganu Marvels mengesahkan kemaraan ke final Netball Super League 2026 selepas mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir masing-masing.

Johor Jewels meneruskan aksi cemerlang apabila menewaskan KL Wildcats untuk menempah slot ke pentas final musim ini.

Pasukan dari selatan tanah air itu mempamerkan permainan cukup konsisten dengan gandingan pemain berpengalaman, Gretel Bueta dan Laura Langman sekali lagi memainkan peranan penting menggerakkan corak permainan pasukan.

KL Wildcats yang hadir selaku juara edisi 2025 pula mempertaruhkan sentuhan pemain Uganda, Shadiah Nassanga bagi mengimbangi kekuatan lawan.

Aksi suku pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sebelum Johor Jewels menutup suku tersebut dengan kelebihan tipis 15-13.

Johor Jewels kemudian memperkemaskan rentak permainan pada suku kedua menerusi serangan lebih agresif dan pertahanan mantap sehingga berjaya mendahului 39-19 ketika tamat separuh masa pertama.

KL Wildcats cuba bangkit pada suku ketiga bagi mengurangkan jurang mata, namun Johor Jewels kekal tenang mengawal permainan sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan 65-48.

Sementara itu, Terengganu Marvels turut memastikan tempat ke final selepas menewaskan Kedah Sunshine 60-46 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pasukan dari Pantai Timur itu tampil lebih dominan terutama pada suku kedua hasil aksi bertenaga jentera serangan yang diketuai Tendai Masamba dan Siti Maisarah Affandi.

Terengganu Marvels berjaya mencipta kelebihan 28-23 pada suku kedua sebelum terus mengekalkan momentum sehingga tamat perlawanan.

Maisarah sekali lagi mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai “Queen of The Court” buat kali ketiga musim ini selepas meledak 23 jaringan selain merekodkan lima super shots dan 14 bantuan gol.

Kemenangan tersebut menyaksikan Johor Jewels bakal membuat perhitungan dengan Terengganu Marvels di final NSL 2026, manakala KL Wildcats dan Kedah Sunshine akan bersaing bagi penentuan tempat ketiga.