KETUA pasukan skuad bola baling Negeri Sembilan Venom, Nur Lailatulladhawiyah Che Yahaya yakin bahawa pasukannya tidak akan tersingkir dari Netball Super League (NSL) 2022 dan mahu mencapai kemenangan dalam pertemuan terakhir menentang Melaka Mystic Ahad ini.

Laila yang baru menyambut hari lahir ke-25 minggu lalu juga mahukan teman sepasukannya mampu beraksi lebih baik dan berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan pasukan berbanding ketika NSL 2021.

Ditanya sama ada dia mahu kekal bersama Venom atau mahu mewakili pasukan lain musim hadapan, pelajar ijazah dalam bidang perakaunan ini menyatakan dia tidak mempunyai masalah jika dipancing pasukan lain untuk mencuba cabaran baharu.

“Saya yakin Negeri Sembilan Venom tidak akan tersingkir dan kekal dalam saingan NSL. Kami juga berazam untuk mencabar kejuaraan NSL musim hadapan.

“Perancangan kami adalah kami tidak mahu kalah dan kami mahu mencapai kemenangan ketika menentang Melaka Mystic. Kami cuba buat sehabis baik dan juga tidak memandang mudah cabaran Mystic. Sebagai kapten, saya berharap rakan sepasukan dapat beraksi baik dan memberi prestasi lebih balik berbanding perlawanan sebelum ini.

“Pencapaian Venom tahun ini dengan tahun lepas boleh dikatakan sama sahaja. Tetapi itu bukanlah perkara utama yang saya pandang kerana saya tahu kelebihan dan kekuatan yang ada pada pasukan lain.

“Saya berpuas hati kerana persembahan pasukan Venom banyak berbeza dan sangat bagus serta menunjukkan peningkatan dari tahun lalu. Tahun ini kami mampu berikan saingan yang sengit dan mata juga tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun lalu.

“Sudah tentu saya akan lebih utamakan negeri kelahiran saya tetapi andainya diberi pilihan dan peluang, saya mahu bermain dengan pasukan lain untuk mencari pengalaman dan mencari angin baru, jelas Laila dalam temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.

Laila yang mula bermain bola jaring sejak berumur 10 tahun kini akan mengetuai cabaran Negeri Sembilan Venom yang akan menentang Melaka Mystic pada Ahad dengan kemenangan akan menjamin kedudukan mereka di dalam NSL musim hadapan.