KETUA Jurulatih skuad bola jaring Johor Jewels, Tracey Robinson belum mahu para pemainnya mendabik dada terlalu awal meskipun berjaya mencatat tiga kemenangan berturut-turut dari tiga perlawanan awal Netball Super League 2023.

Juara bertahan itu cemerlang merakamkan tiga kemenangan menewaskan KL Wildcats, Perak Phoenix dan Pahang Tulips untuk mendahului tangga teratas NSL selepas tamat minggu pertama.

Tracey gembira kerana ini adalah kali pertama mereka bermain bersama-sama dan dia sudah mula mendapat gandingan yang dimahukan bagi mempertahankan kejuaraan dalam baki empat lagi perlawanan liga.

“Perlawanan pertama pada Jumaat adalah kali pertama kami bermain bersama jadi saya gembira selepas tiga kemenangan berturut-turut ini namun sedar perjalanan kami masih panjang.

“Kami menghormati semua lawan yang bakal ditemui tetapi kami mahu mengambil setiap peluang untuk memperbaiki pasukan dan dalam konteks musim yang pendek kami perlu berkerja keras,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Tracey juga mahu para penyokong Johor Jewels terus berada di belakang pasukan dengan hadir ke Stadium Juara Bukit Kiara bagi memberikan kebanggaan buat pasukan dan negeri Johor.

“Kami berharap para penyokong Johor Jewels yang sentiasa menyokong kami terus hadir ke stadium untuk kami kerana kami bangga mewakili negeri Johor dan bermain untuk semua penyokong dan juga Che Puan Khaleeda,” tambahnya.

Dengan tiga kemenangan ini, Johor Jewels kini menduduki tempat teratas Netball Super League dengan sembilan mata dan bakal berdepan cabaran Negeri Sembilan Venom dan Terengganu Marvels dalam saingan minggu kedua minggu hadapan.