PEMAIN pertahanan negara, Corbin Ong sedar Oman adalah sebuah pasukan yang kuat tetapi tidak mustahil untuk ditewaskan dan dia serta rakan-rakan sepasukannya bersedia untuk mencari kemenangan dalam perlawanan keempat Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada Selasa.

Selepas tewas 0-2 kepada lawan yang sama di Muscat, Corbin mahu Harimau Malaya tampil lebih garang apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

“Untuk penyokong di tempat sendiri kami mahu mencipta lebih banyak peluang dan lebih bertenaga di depan gawang sekali gus menjadikan perlawanan lebih menarik dan itulah yang akan kami lakukan pada Selasa.

Corbin Ong dicabar pemain Oman

“Penting untuk pasukan bergerak sebagai satu unit sama ada ketika menyerang atau bertahan jadi semua pemain mempunyai tanggungjawab untuk bertahan dan menyerang dengan semua pemain sudah berikan yang terbaik mengikut arahan jurulatih dan kami akan cuba laksanakan pelan permainan kami.

“Tidak seronok apabila tewas tetapi motivasi kami sentiasa tinggi terutama apabila mahu bermain di tempat sendiri dengan semua pemain sedar apa yang perlu diperbaiki dan akan berikan yang terbaik kepada para penyokong,” katanya ketika ditemui di kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Petaling Jaya.

Pemain warisan Malaysia-Kanada itu juga percaya skuad kendalian Kim Pan-gon itu mampu untuk menyekat Oman berdasarkan pengalaman yang mereka perolehi pada perlawanan lepas ke atas lawan yang sama.

Corbin Ong mahu pasukan lebih menyerang di Bukit Jalil

“Oman adalah pasukan paling tinggi ranking dalam kumpulan kami dan sudah tentu kita perlu hormati mereka tetapi saya yakin kita mampu sekat mereka pada Selasa kerana mereka bukannya tidak mampu dikalahkan,” jelasnya.

Malaysia kini dalam situasi perlu mengutip tiga mata penuh untuk memastikan Harimau Malaya kembali ke tangga teratas kumpulan sekali gus mencerahkan peluang layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi