PASUKAN Malaysia B-17 melangkah ke pentas final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 selepas menundukkan Laos B-17 3-0 dalam aksi separuh akhir.
Kemenangan itu menyaksikan anak buah Muhammad Shukor Adan kembali ke final buat kali pertama sejak edisi 2019, sekali gus menghidupkan peluang untuk memburu kejuaraan.
Malaysia bermula cemerlang apabila dihadiahkan sepakan penalti seawal minit ketujuh selepas pertahanan Laos, Bounthasak Chandala dilayangkan kad merah susulan kekasaran dalam kotak penalti.
Yusuf Nasrullah Ramli tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Empat minit kemudian, kelebihan itu digandakan menerusi jaringan menarik Aniq Thaqif Hairulnizam yang melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol lawan.
Malaysia berpeluang menambah jaringan sebelum rehat menerusi satu lagi sepakan penalti, namun percubaan Yusuf kali ini berjaya diselamatkan penjaga gol Laos.
Memasuki babak kedua, skuad negara terus menguasai permainan dan menambah gol ketiga pada minit ke-57 hasil jaringan sendiri pemain Laos, Nilandone Xayaseng.
Walaupun Laos cuba bangkit, beberapa percubaan termasuk oleh pemain gantian mereka gagal menemui sasaran, sekali gus menyaksikan keputusan kekal 3-0 hingga tamat perlawanan.
Malaysia kini menanti pemenang antara Vietnam B-17 dan Australia B-17 di pentas final yang dijadual berlangsung di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo.
Sementara itu, Laos akan turun dalam aksi penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.