Kredit Gambar: Justin Setterfield / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP
Chelsea dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah mendapatkan pemain tengah berpengalaman, Jordan Henderson secara perpindahan percuma bagi memperkukuhkan skuad menjelang musim baharu.
Pengurusan The Blues dikatakan mahu menambah elemen kepimpinan dan pengalaman dalam bilik persalinan, dengan bekas kapten Liverpool itu dilihat mampu memainkan peranan penting di bawah projek baharu kelab.
Henderson, 36, hanya menyertai Brentford sebelum musim lalu menerusi kontrak selama dua tahun selepas meninggalkan Ajax. Namun, kelab kendalian Keith Andrews itu dilaporkan bersedia melepaskannya lebih awal sekiranya menerima persetujuan daripada kedua-dua pihak.
Chelsea bagaimanapun bukan satu-satunya kelab yang berminat mendapatkan khidmat pemain tengah berkenaan apabila dua lagi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) turut dikatakan memantau situasinya.
Pemain antarabangsa England itu masih berada dalam perancangan skuad kebangsaan di bawah kendalian Thomas Tuchel menjelang Piala Dunia, selain terus dikenali sebagai antara pemimpin berpengaruh dalam bilik persalinan.
Minat terhadap Henderson turut mencerminkan perubahan pendekatan Chelsea pada jendela perpindahan kali ini apabila kelab London itu tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada pemain muda, sebaliknya turut memburu pemain berpengalaman bagi mengimbangi skuad.
Sebelum ini, Chelsea dikaitkan dengan perpindahan pemain tengah Sunderland, Granit Xhaka, selain penyerang Brighton, Danny Welbeck. Kelab itu juga dilaporkan pernah menilai kemungkinan mendapatkan pertahanan Manchester City, John Stones, namun pemain tersebut kini dijangka berhijrah ke Serie A.
Henderson memulakan karier profesional bersama Sunderland sebelum menyertai Liverpool pada 2011. Sepanjang 12 tahun di Anfield, beliau mengambil alih lilitan kapten daripada Steven Gerrard dan membantu kelab itu meraih pelbagai kejuaraan termasuk Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala FA, dua Piala Liga dan Piala Dunia Kelab.
Selepas meninggalkan Liverpool pada 2023, Henderson menyertai Al-Ettifaq di Arab Saudi sebelum kembali ke Eropah bersama Ajax pada Januari 2024. Beliau kemudian menghidupkan semula kariernya di Belanda dengan mencatat 57 penampilan sebelum kembali ke EPL menyarung jersi Brentford pada 2025.