PASUKAN Harimau Malaya  kini memasuki fasa transformasi apabila struktur pasukan kebangsaan terus diperkuatkan dengan pengenalan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan, yang hampir selesai dilantik.

Perkara ini diumumkan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menerusi satu kenyataan di laman X miliknya.

Menurut Tunku Ismail, CEO tersebut mestilah seorang yang bukan sahaja memahami bola sepak secara teknikal tetapi juga mampu menghubungkan aspek komersial dan hubungan interpersonal dalam sukan ini.

Individu yang dipilih perlu memiliki pengalaman luas di peringkat tertinggi bola sepak, rangkaian profesional yang kukuh, dan kebolehan merangka hala tuju strategik untuk mengangkat Harimau Malaya ke tahap yang lebih tinggi.

Perkara ini diumumkan oleh Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menerusi satu kenyataan di laman X miliknya.

“Beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi, tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.

“Selain itu, beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia,” jelas Tunku Ismail.

Transformasi pasukan kebangsaan ini turut melibatkan pelantikan dua figura penting dalam bidang kejurulatihan baru-baru ini. Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski, secara rasmi diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad senior negara yang baharu, manakala Nafuzi Zain pula dilantik sebagai pengendali skuad B-23 tahun.

Menurut kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 16 Disember lalu, Peter Cklamovski, yang berasal dari Australia, dilihat sebagai jurulatih muda berkaliber yang mampu membawa Harimau Malaya bersaing dengan lebih hebat di pentas antarabangsa. Beliau akan memulakan tugasnya dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula Mac depan.

Pada 16 Disember,2024, Peter Cklamovski, secara rasmi diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad senior negara yang baharu, manakala Nafuzi Zain pula dilantik sebagai pengendali skuad B-23 tahun.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen FAM dalam memastikan Harimau Malaya bersedia menghadapi cabaran global, dengan penekanan kepada strategi pembangunan jangka panjang dan sinergi antara liga tempatan serta pasukan kebangsaan.

Dengan perubahan besar ini, peminat bola sepak tanah air menaruh harapan tinggi untuk melihat skuad negara kembali mencipta kegemilangan di pentas antarabangsa.

Kehadiran CEO pasukan kebangsaan kelak dijangka memainkan peranan penting dalam merangka dasar yang mampu meningkatkan bukan sahaja standard pasukan kebangsaan tetapi juga kualiti liga tempatan, selaras dengan misi memacu bola sepak Malaysia ke tahap lebih kompetitif.