OLIVIER Giroud dan Ousmane Dembele terpaksa digantikan pemain lain kerana beraksi teruk pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022, menurut pandangan jurulatih Perancis, Didier Deschamps
Pada awalnya, Giroud dan Dembele disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika Perancis menentang Argentina. Les Bleus mengalami kesukaran mengembangkan permainan kerana mereka sentiasa diasak oleh Argentina.
Perancis kemudiannya menghadiahkan penalti yang disempurnakan Lionel Messi untuk memberikan Argentina pendahuluan pada minit ke-23. Hanya 13 minit kemudian, gawang Perancis bocor lagi. Kali ini giliran Di Maria selepas memaksimumkan hantaran silang Alexis Mac Allister.
Jurulatih Didier Deschamps kemudian membuat keputusan mengejutkan dengan menarik keluar Giroud dan Dembele pada minit ke-41. Giroud digantikan oleh Marcus Thuram, manakala Dembele digantikan oleh Randal Kolo Muani.
Giroud sangat kecewa sehingga dia bertindak balas dengan marah selepas meninggalkan kawasan permainan.
Penyerang berusia 36 tahun itu menghempas botol air di tepi padang.
“Mengenai dua pertukaran pertama, saya benar-benar tidak sabar menunggu sehingga separuh masa. Ousmane dan Giroud memang membawa kami ke final, tetapi mereka tidak bagus hari ini.
“Apabila keadaan tidak berjaya, anda perlu membuat perubahan. Akhirnya, saya sangat sedih untuk pemain saya, staf saya,” kata Deschamps.
Pertukaran ini memberi kesan kepada kebangkitan Perancis dalam 10 minit terakhir masa sebenar. Kolo Muani memenangi penalti untuk Perancis dan Thuram mencetuskan gol kedua yang semuanya dijaringkan oleh Kylian Mbappe.
Namun begitu, juara bertahan itu terpaksa kecewa selepas tewas kepada Argentina menerusi sepakan penalti 2-4.